HAMPIR setahun bergerak secara rasmi ke dunia hiburan ‘mainstream’, nama Killa Driz mungkin masih baharu bagi sebilangan besar peminat. Namun untuk ‘underground scene’, lagu-lagu nyanyiannya mendapat sambutan baik dan sudah mengumpul peminat tersendiri.
Meskipun sudah ‘berhijrah’, dia gembira apabila masih mengekalkan bunyi ‘underground’ seperti mana yang sudah diperjuangkan sejak berusia 15 tahun lagi.
“Dahulu memang ada yang mengatakan pemain ‘underground scene’ yang mahu ke ‘mainstream’ perlu menukar bunyi untuk diterima. Bagi saya perkara berkenaan mungkin benar atau mungkin juga tidak…bergantung kepada rezeki.
“Pendengar boleh sahaja menerima apa sahaja muzik asalkan mereka suka dan lagu tersebut kena dengan mereka. Dunia sudah berubah dan orang boleh menerimanya,” katanya.
Meskipun ramai rakan-rakan seangkatan dengannya masih mahu kekal dalam ‘underground scene’, dia menanggap perkara tersebut adalah satu kebiasaan memandangkan masing-masing mempunyai strategi untuk kekal relevan dalam memasarkan muzik mereka.
Sejak melancarkan lagu Siapa Tahu bulan Mac yang lalu, Killa Driz,22, menganggap perjalanan yang dilaluinya penuh warna-warni. Transisi perubahan sedang dilalui olehnya dengan penuh keterujaan.
“Untuk diterima ramai bukan satu perkara yang mudah memandangkan saya perlu dilihat berbeza, perlu ada kelainan untuk diterima ramai sementelah industri muzik kita kecil.
“Tidak dinafikan banyak saingan daripada penyanyi rap baharu yang muncul, jadi saya perlu cari kelainan. Apa yang paling penting, sikap perlu dijaga memandangkan tidak semua orang menerima kita kerana produk sahaja.
“Ada sesetengah individu menilai kita dari sudut peribadi . Daripada peribadi barulah mereka mengenal lagu dan sebagainya,” ujarnya yang sudah menghasilkan lagu Siapa Tahu, Sedar Ku, Kena Sidai dan Berserah.
Bercerita mengenai perkembangan terbarunya pula, Killa Driz gembira apabila lagu Berserah gandingan bersama Sabbala, A-Kid dan LastKhalif menjadi runut bunyi untuk drama Tikam yang mulakan ditayangkan semalam.
Drama yang menggandingkan pelakon Fahrin Ahmad, Ben Amir, Intan Najuwa dan Micheal Ang itu disiarkan pada pukul 9.30 malam di Astro Ria.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

