
Salam Sabtu semua, apa khabar? Harap mereka yang ada urusan minggu lepas berjalan lancar.. Sis baik-baik sahaja, macam biasa memikirkan masa depan dan perjalanan kehidupan – biasalah orang muda.
Minggu ini, Sis nak ajak korang duduk bersama dan layan perasaan. Mungkin ada antara korang yang stress kerja atau lalui minggu yang banyak rintangan, jadi mungkin perbincangan Sis kali ini boleh beri motivasi atau buat otak korang ‘berjalan’ walaupun sedikit.
Kalau kat kedai mamak, minum lah teh tarik, kalau kat One Serambi Cafe, genggamlah secawan Americano dan yang kat rumah, cari tempat selesa sambil baca apa yang sis mahu sampaikan.
Sebagai manusia, kita sentiasa mencari kebahagiaan untuk diri sendiri tapi maksud kebahagian itu sendiri subjektif untuk semua orang dan selama kita hidup kat dunia ni, kita hanya faham maksudnya secara am, bukan dengan cara kita sendiri.
Dalam Deklarasi Kemerdekaan Amerika Syarikat, kebahagiaan adalah hak semua orang dan ia juga termasuk dalam Hak Kemanusiaan. Jadi kita semua mempunyai hak untuk bahagia tapi kenapa ada juga manusia yang masih tak bahagia walaupun tak hidup susah? Macam Sis kata, kebahagiaan ni subjektif.
Sis tahu yang generasi muda sekarang masih ada yang masih bergelut dengan kehidupan, dan maksud Sis bukannya hanya dari segi pekerjaan ke apa tapi dalam memenuhi kekosongan yang korang rasa macam sentiasa ada dalam hati .
Setiap manusia mesti ada hasrat nak rasa puas hati dengan diri sendiri tapi kadang-kadang, dah dapat apa yang kita nak pun – kenapa masih tak rasa bahagia?
Ada yang ingat kalau dapat kerja… gaji besar atau reputasi tinggi boleh buat dorang bahagia tapi bila dah dapat, masih tak puas.
Ada yang ingat kalau jadi Instafamous atau jadi terkenal dalam industri ni boleh isi kekosongan emosi tu, tapi bila dah jadi macam tu, tetiba tak rasa apa-apa.
Ada juga manusia yang tengok orang lain bahagia dengan rumah besar, pasangan berupa dan business yang berjaya. Dorang nak benda yang sama tapi bila dah capai semua tu, otak mula overthinking dan rasa macam beban.
Namun, ada juga jenis yang dah ada semua – gaji besar, keluarga baik, kawan-kawan semua boleh bawa ke syurga tapi sedih juga. Secara tak sengaja, korang sedar yang korang tak pernah ada satu minggu yang bahagia je sepanjang masa selama korang hidup.
Jadi adakah manusia ni boleh capai kebahagiaan sepenuhnya?
Pendapat sis, manusia ni boleh bahagia tapi bukan sepenuh masa. Kenapa? Sebab kalau bahagia 24 jam, bila je korang ada masa untuk rasa sedih bila kucing korang mati, kecewa kena belot dengan kawan sendiri atau marah bila ada orang tak layan mak ayah korang elok-elok?
Walaupun kebahagiaan itu bagus, ia juga boleh membutakan korang daripada realiti sebenar – kita dicipta untuk berasa kecewa, sedih, marah sebab perasaan adalah yang buat kita manusia dan sebagai manusia, kita perlu sentiasa membesar dan mencapai banyak benda sambil ingat bahawa semua benda yang elok sekarang tak semestinya elok sampai bila-bila.
Korang dah bekerja kat tempat yang korang suka, gaji pun elok tapi takkan nak duduk situ sampai bila-bila? Mesti lah nak naik pangkat tapi kalau naik pangkat nanti kerja lagi banyak.
Dah jumpa pasangan yang baik, mesti lah boleh buat pasangan seumur hidup tapi perkahwinan ni besar tanggungjawabnya.
Semua benda yang elok dalam hidup ini mesti ada tambahannya – dan benda tu bukannlah satu beban, tapi satu tanggungjawab dan ia bergantung kepada kita macam mana kita nak terima benda tu sepanjang kita hidup.
Sis perasan zaman sekarang, manusia nak hidup macam orang lain yang kat Instagram, Twitter tu tapi semua tu hanya jendela kepada kebahagiaan orang lain, bukannya kebahagiaan diri kita sendiri.
Janganlah fikir kalau pergi bercuti kat Venice dan boleh beli kasut separuh dari gaji korang tu je yang boleh bawa kebahagiaan dekat korang.
Untuk Sis, yang boleh buat diri kita bahagia sepatutnya benda yang kecik-kecik – boleh belanja mak ayah pergi makan, tengok kelab yang kita sokong menang piala dan boleh balik kerja baring atas katil dalam bilik yang ada aircond.
Kebahagiaan tu boleh dicapai bila kita bahagia dengan apa yang kita ada, bukannya dengan apa yang kita nak.
Tak guna juga kalau korang bangun pagi setiap hari, murung kena pergi kerja walaupun gaji dia besar. Serupa macam tak kerja. Kalau korang kerja benda yang korang suka, lagi kurang stress sebab korang akan rasa benda tu berbaloi.
Janganlah fikir nak bandingkan diri korang dengan hidup orang lain pastu fikir apa yang dia ada dan apa yang korang tak ada. Dorang pun mungkin fikir benda yang sama tapi dekat orang yang berbeza.
Korang jangan ingat yang kalau korang capai benda yang orang lain capai, korang boleh bahagia. Apa yang ditakdirkan untuk dorang tak semestinya berkesan untuk hidup kita.
Hidup ini diatur elok dan kalau kita asyik fikir apa yang kita kurang, kita takkan nampak apa yang ada siapa dekat depan mata.
Itu sahaja daripada Sis untuk minggu ini. Sis tulis ini semua berdasarkan apa yang Sis tengah rasa sekarang jadi ini macam peringatan untuk diri juga.
Kalau ada apa-apa cadangan atau komen boleh hantarkan kepada Sis di [email protected]
Bersyukur dan maju ke hadapan ye semua. Salam Sabtu!
- Penulis adalah graduan kewartawanan UiTM.

