PENYANYI terkenal, Ayu Damit meluahkan perasaan tidak bersetuju akan kenyataan kerajaan yang ingin memberikan suntikan vaksinasi jenis Pfizer-BioNTech kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.
Terdahulu, pasangan selebriti Datuk Fizz Fairuz dan Datin Almy Nadia turut menolak keputusan kerajaan memberikan vaksin kepada kanak-kanak oleh kerana bimbang ia akan memberi kesan yang teruk.
Menerusi perkongsian di Instagram, pendapat Ayu yang menolak pemberian vaksin kepada kanak-kanak telah disiarkan oleh sebuah laman portal hiburan namun menerima sindiran daripada seorang pengguna Instagram.
“Bukan mati pun,” kata pengguna tersebut di ruangan komen.

Ayu kemudian menemplak sindiran tersebut dan menjelaskan bahawa anak-anaknya mempunyai daya tahan badan yang agak lemah malah perlu menunggu keputusan laporan kesihatan sebelum menerima vaksinasi.
“Saya ni bukan antivaksin. Saya dan suami pun sudah lengkap dua dos. Tapi saya sebagai ibu bapa kena fikir juga. Saya tak kata pun saya tak bagi anak-anak cucuk. Cuba baca betul-betul dalam artikel itu!
“Anak saya memang antibodi lemah jadi kau nak cakap apa? Kalau jadi apa-apa kau nak tanggung ke? Nanti masing-masing cakap ini takdir kena terima.
“Sebelum jadi apa-apa saya buatlah ‘medical check up’ untuk anak-anak saya. Saya tengah tunggulah ini keputusan daripada doktor. Kalau okay saya cucuk. Kalau tak okay saya cucuk hidung kau,” tulis Ayu di Insta Story.

Malah, Ayu yang merupakan juara program realiti One in a Million turut menjelaskan bahawa dia mahukan yang terbaik untuk anak-anak dan terkilan akan kata-kata yang dilontarkan oleh pengguna Instagram tersebut.
“Bukan mati pun katanya. Memang itu semua takdir Allah SWT. Tapi saya ini ibu. Anak-anak pun masih ada bapa. Tak salah untuk kami nak yang terbaik untuk anak.
“Kalau orang cakap benda sama, awak terkilan tak? Saya bukan anti atau tolak orang yang tak ambil vaksin. Tapi ini sebagai ikhtiar untuk anak-anak.
“Kalau aku cakap anak aku, suka hati akulah. Pun akan ada yang tak puas hati kan? Tak faham kadang sesetengah manusia ni. Kau nak apa sebenarnya?,” tambah Ayu lagi.
Malah menerusi entri yang berlainan, terdapat komen daripada pengguna Instagram yang menggelarkan perangai artis seakan beruk.
“Artis pun manusia. Kalau awak kata kami beruk? Awak apa?,” selar Ayu.
Untuk info, Ayu mendirikan rumah tangga bersama suami, Syed Fauzi pada 2009 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Syed Nasrul Haikal,12, Sharifah Alya Aryana,9 dan Syed Aqif Najmi yang berusia setahun.

