Dua lokasi perkelahan di daerah Kubang Pasu dilanda fenomena kepala air akibat hujan lebat berterusan./ Gambar media sosial.

KEJADIAN kepala air di kawasan air terjun Bukit Wang, Jitra, petang semalam turut menyebabkan banyak rumah di kawasan berhampiran dinaiki air.

Malah, hujan lebat berterusan di daerah itu menyaksikan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka termasuk di Malau, tidak jauh dari Bukit Wang.

Bagaimanapun menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), setakat pagi ini, terdapat tiga keluarga dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau.

Sementara itu, media melaporkan dua keluarga yang berkhemah di kawasan perkelahan di Surau Batu Sungai, Sintok terselamat daripada kepala air.

Ini selepas mereka menyelamatkan diri dengan mendaki bukit berhampiran tapak perkhemahan tersebut.

Menurut penduduk, walaupun kepala air hanya berlaku di kawasan sungai, namun ia naik sehingga tapak perkelahan Surau Batu Sungai.

Penolong Pengarah Bahagian Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.27 malam tadi.

Beliau berkata, operasi disertai anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Kedah.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan melalui Sistem MERS 999 untuk bantuan menyelamat mangsa terkandas di atas bukit berdekatan surau pusat peranginan akibat daripada kepala air .

“Setibanya pasukan keluaran operasi di lokasi didapati terdapat 18 mangsa terkandas dan dilaporkan dalam keadaan selamat.

Katanya, komander operasi melaporkan kesemua mangsa berada di atas bukit di ketinggian hampir kira-kira dua kilometer dari jalan utama.

Bomba menggunakan ATV milik penduduk bagi menyalamatkan mangsa yang terkandas di bukit Surau Sungai Batu, Kubang Pasu malam tadi. Gambar media sosial Astro.

“Tindakan komander operasi adalah dengan menaiki bukit dengan menggunakan ATV milik penduduk kampung untuk mendapatkan mangsa dan mendapati mereka dalam keadaan selamat.

Baca artikel berkaitan: Yan banjir lagi, dua bulan selepas tragedi kepala air

Lagi kes kepala air: Bomba selamatkan 9 lelaki terperangkap di Sungai Kedondong

“Operasi tamat sepenuhnya pada 12.02 tengah malam,” katanya seperti dilapor portal Harian Metro.

Sementara itu, Mohamadul Ehsan berkata, dua lelaki mempunyai hubungan sepupu berjaya diselamatkan dengan bantuan anggota bomba selepas terperangkap di kawasan air terjun Bukit Wang ketika kejadian kepala air.

Media semalam melaporkan, dalam kejadian itu, hujan lebat kira-kira jam 6 petang tadi menyebabkan berlaku kejadian kepala air di pusat peranginan di Bukit Wang, sekali gus turut mengakibatkan banjir kilat di rumah penduduk berhampiran.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram