MISTERI pendaki wanita yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu akhirnya terungkai apabila mangsa ditemukan selamat hari ini.
Jaslinda Saludin, 49, ditemui berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh kira-kira jam 3 petang selepas penduduk Orang Asli yang terserempak dengannya memaklumkan penemuan itu kepada pihak berkuasa.
Mangsa dilaporkan ditemui oleh seorang lelaki dikenali sebagai Nazri Bah Eng sebelum beliau menghubungi anak saudaranya yang berada di Johor untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Ketika ini, Jaslinda ditempatkan di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu sementara menunggu tindakan lanjut pihak berkuasa serta pasukan penyelamat.
Penemuan wanita itu menamatkan tanda tanya pelbagai pihak susulan kehilangan mangsa yang mencetuskan perhatian ramai sejak lebih dua minggu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Alwi Zainal Abidin mengesahkan penemuan Jaslinda dan berkata kenyataan rasmi berhubung kes itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Kenyataan media rasmi berhubung kejadian itu akan dikeluarkan tidak lama lagi,” katanya.
Terdahulu, gambar dipercayai memaparkan Jaslinda berada di sebuah rumah komuniti di kawasan berkenaan tular di media sosial sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai keberadaan mangsa.
Jaslinda sebelum ini dilaporkan hilang pada 23 Mei lalu ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih di sini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran digerakkan susulan kehilangan wanita itu dengan membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, bomba, pasukan penyelamat gunung, komuniti Orang Asli, sukarelawan serta penduduk setempat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak merakamkan penghargaan kepada semua agensi, komuniti Orang Asli, sukarelawan serta orang awam yang terbabit secara langsung dan tidak langsung sepanjang operasi pencarian mangsa.
Operasi kehilangan pendaki itu sebelum ini mendapat perhatian meluas masyarakat susulan tempoh pencarian yang panjang serta cabaran bentuk muka bumi di kawasan pergunungan terbabit.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

