beranggapan mata wang kripto adalah haram atau dilarang kerana memiliki elemen tidak menentu, pertaruhan dan mendatangkan mudarat.

Penggunaan aset kripto sebagai mata wang diharamkan bagi umat Islam, kata pemimpi Majlis Ulama Indonesia (MUI) hari ini.

Pemimpin MUI, Asrorun Niam Sholeh selepas majlis itu mengadakan satu pendengaran pakar berkata, pihaknya beranggapan
mata wang kripto adalah haram atau dilarang kerana memiliki elemen tidak menentu, pertaruhan dan mendatangkan mudarat.

Menurutnya yang dipetik Bloomberg, jika mata wang kripto sebagai komoditi atau aset digital boleh mematuhi rukun Syariah dan menunjukkan manfaat yang jelas, maka ia boleh diniagakan,

MUI adalah pihak berkuasa pematuhan Syariah di negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia itu, dengan Kementerian Kewangan dan bank pusat kebiasaannya mendapatkan nasihat daripada mereka berhubung isu-isu kewangan Islam.

Walaupun keputusan MUI tidak bermakna dagangan mata wang kripto akan dihentikan di Indonesia, fatwa itu akan menghalang orang Islam daripada melabur dalam asetnya dan membuatkan institusi tempatan mempertimbangkan semula untuk menerbitkan aset kripto.

Bank Indonesia dilapor bercadang untuk memperkenalkan mata wang digital bank pusat, namun belum ada keputusan dibuat.

Kerajaan Indonesia sebelum ini menyokong aset kripto, membenarkannya diniagakan bersama kontrak hadapan komoditi sebagai pilihan pelaburan, malah berusaha menubuhkan bursa kripto pada penghujung tahun ini.

Bagaimanapun Indonesia tidak membenarkan penggunaan aset kripto sebagai bentuk mata wang, kerana rupiah adalah satu-satunya mata wang sah di negara itu.

Transaksi kripto di Indonesia berjumlah AS$26 bilion (RM108.3 bilion) dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, masih kecil berbanding pasaran global sekitar AS$3 trilion (RM12.5 trilion).

Sementara itu, pendirian pemimpin agama Indonesia itu berbeza daripada negara majoriti Muslim lain.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) membenarkan dagangan kripto di zon bebas Dubai, manakala Bahrain menyokong aset kripto sejak 2019.