GAMBAR CCTV menunjukkan bagaimana kanak-kanak itu melintas di hadapan van. - Gambar Bernama

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dilanggar van sekolah ketika melintas di hadapan kenderaan itu untuk memasuki rumah transit di Taman Seroja di Sepang, tengah hari tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Supt. Md Noor Aehwan Mohammad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 12.10 tengah hari ketika pemandu van yang merupakan seorang wanita menghantar mangsa ke rumah transit sebelum ke Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA). 

“Setelah menurunkan semua pelajar termasuk mangsa, pemandu van bergerak ke hadapan tanpa menyedari mangsa yang terakhir turun sedang melintas di hadapan van dan melanggarnya hingga cedera parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan malam ini. 

Beliau berkata, pemandu wanita berusia 31 tahun sedang dirakam percakapan bagi membantu siasatan. 

Menerusi rakaman kamera liter tertutup yang tular, pemandu van yang menyedari kejadian itu segera memberhentikan kenderaannya dan meminta pertolongan daripada pemilik rumah transit. 

Md Noor Aehwan berkata mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Nilai, Negeri Sembilan namun meninggal dunia ketika menerima rawatan dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram