TIDAK berniat merahsiakan perkahwinan, penyanyi rap sensasi Caprice memberitahu dia terpaksa berbuat demikian bagi mengelakkan perkara yang kurang ‘enak’ berlaku dalam hubungannya.

Kata Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli,33, akui sepanjang setahun perkenalannya dengan isteri, Fara Inalis,26, dia berdepan pelbagai dugaan yang tak terduga.

“Saya takut hubungan terganggu sekiranya menghebohkan kepada umum sebelum perkahwinan. Saya rasa ini adalah waktu yang terbaik selepas terlalu banyak hal-hal yang tak diingini berlaku.

“Ramai yang datang dan pergi dalam hidup ketika saya dilanda masalah tetapi Elis setia di sisi. Itu faktor mengapa saya memilih dia untuk jadi isteri saya,” katanya dalam program MeleTOP malam tadi (Selasa).

Caprice dan Elis melangsungkan pernikahan pada Isnin petang sekaligus mengejutkan ramai pihak termasuklah rakan artis.

Sementara itu, penyanyi lagu Lenglui itu mula mengenali Elis sejak setahun lalu.

“Sudah setahun saya mengenalinya dan dia sering memberi semangat kepada saya dalam setiap perkara.

“Niat merahsiakan hubungan kami adalah bagi mengelakkan terlalu banyak campur tangan orang luar. Saya khuatir perancangan terganggu sekiranya menayang hubungan kami terlalu awal.

“Kalau nak tahu, sejak hari kami ambil keputusan untuk bernikah sehingga hari perkahwinan, banyak ujian yang berlaku. Namun, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Elis mendedahkan salah satu sebab dia nekad untuk menerima lamaran Caprice selepas melihat sikap penyayang terhadap anaknya, Aleesya Sofea yang berusia lima tahun.

“Dia seorang yang penyayang dengan kanak-kanak dan sangat rapat dengan anak saya…memang tak nampak palsu langsung.

“Sokongan daripada keluarga juga menjadi penyebab utama saya setia bersama dengan dia. Saya tahu dia ada ego dan barannya sendiri. Dari situ saya tenangkan dia serta terus beri semangat kepadanya,” tuturnya.

Isnin lalu, Caprice itu mengejutkan ramai apabila sekeping foto pernikahannya tular di laman sosial selepas dimuat naik oleh seorang pengguna Instagram.

Beberapa jam selamat bergelar suami, Caprice menerusi entri di Instagram, mengakui sudah bernikah dengan Elis yang berasal dari Kelantan.

Elis adalah ibu tunggal dan mempunyai seorang anak perempuan daripada perkahwinan terdahulu.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram