Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

KEMATIAN seorang lelaki tempatan yang juga orang kena tahan (OKT) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Selasa lalu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ia berikutan laporan bedah siasat oleh pakar forensik patologi HRPZ II tidak dapat mengesahkan punca sebenar kematian OKT berusia 23 tahun itu.

Beliau berkata, terdahulu OKT tersebut sedang dirakam percakapan dan dokumentasi bagi membantu siasatan kes kecurian kenderaan di Pejabat Cawangan Bantuan Teknikal Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, sebelum dilihat dalam keadaan bergetar dan mulut berbuih.

“Pegawai dan anggota yang dalam proses rakaman percakapan itu telah bertindak segera dengan mengejarkan mangsa ke HRPZ II bagi mendapatkan bantuan untuk merawat dan menyelamatkan mangsa yang berada dalam keadaan menggigil dan tidak sedarkan diri.

“Bagaimanapun, setelah bantuan diberikan oleh Pegawai Perubatan yang bertugas telah mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 2.30 petang. Ekoran daripada itu, satu kertas siasatan telah dibuka untuk siasatan awal berhubung kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kes ahli perniagaan jatuh kondo diklasifikasi mati mengejut

Shafien berkata, pakar forensik patalogi HRPZ II telah menjalankan bedah siasat pada hari sama namun tidak dapat mengesahkan punca sebenar kematian mangsa.

“Pakar hanya memutuskan keputusan awal punca kematian mangsa sebagai unascertained dan punca kematian bergantung selanjutnya kepada laporan analisis dan ujian makmal yang akan dilakukan oleh pihak patologi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan secara telus berdasarkan laporan analisis serta ujian makmal HRPZ II bagi mencari punca sebenar kematian mangsa.

“Justeru, saya menggesa dan menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta membuat pelbagai andaian berhubung kejadian ini. Hala tuju siasatan polis akan ditentukan setelah laporan penuh dikeluarkan oleh pakar forensik berhubung punca kematian mangsa,” katanya. – BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare