Pengerusi Kumpulan AmBank Tan Sri Mohamad Azman Hashim, dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sempena Istiadat Konvokesyen UPSI ke-22.

Azman yang juga bapa kepada selebriti terkenal Mizz Nina menerima ijazah itu yang disampaikan oleh Canselor Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI di Tanjung Malim, Perak semalam.

Naib Canselor UPSI. Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata anugerah itu merupakan penghargaan kepada tokoh perbankan negara dalam pengurusan institusi kewangan memacu kecemerlangan ekonomi negara.

“Sumbangan dan pencapaian beliau bukan sahaja diiktiraf di dalam negara bahkan di persada antarabangsa. Malah, sebagai salah seorang tokoh dermawan disegani, beliau telah banyak menyumbang melalui pertubuhan kebajikan seperti Yayasan Azman Hashim dan Yayasan AmBank Group misalnya. Sumbangan beliau banyak melestarikan perkembangan pendidikan dan sosial,” jelasnya dalam suatu kenyataan.

Memanjatkan rasa syukur, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada UPSI atas anugerah yang diterima.

“Alhamdulillah, saya berasa bangga terhadap pengiktirafan yang diberikan apatah lagi menerimanya daripada sebuah institusi pendidikan terulung yang sudah mencecah 100 tahun usianya. Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh warga pengurusan UPSI atas penghormatan ini,” jelasnya ketika ditemui.

Profil Tan Sri Azman Hashim

Tan Sri Azman Hashim, figura tokoh perbankan tanahair dilahirkan pada Julai 1939 di Kampung Baru, Kuala Lumpur, merupakan anak ketiga daripada 13 beradik dan mendapat pendidikan awal di Malay’s Boys School Setapak. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian menengah di Methodist Boy’s School di Sentul dan menamatkan persekolahan dengan kelulusan Senior Cambridge pada usia 15 tahun.

Tan Sri Dato Azman terpilih sebagai salah seorang pemegang Biasiswa Rancangan Colombo dan menyambung pengajian di Australia dalam bidang perakaunan selain turut merupakan seorang Akauntan Berkanun (FCPA), ahli Fellow Institut Akauntan Berkanun dan ahli Fellow Institut Setiausaha dan Pentadbir Berkanun.

Tan Sri Dato Azman Hashim memulakan kerjaya di Messrs O L Haines & Co (Chartered Accountants) di Perth Australia dari tahun 1955-1960. Sekembalinya dari Australia sebagai akauntan berkanun pada tahun 1960, beliau mula berkecimpung dalam sektor perbankan dan berkhidmat di Bank Negara Malaysia sehingga Mei, 1964.

Selanjutnya, Tan Sri Dato Azman memulakan perniagaan sendiri iaitu Azman & Co yang kemudiannya berkembang kepada firma perkongsian Azman, Wong, Salleh & Co (Chartered Accountants). Setelah itu, beliau menyertai Lembaga Pengarah Malayan Banking Berhad pada tahun 1966 dan seterusnya sebagai Pengarah Eksekutif pada tahun 1971 hingga 1980. Pada tahun 1980 hingga 1982, Tan Sri Dato Azman telah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Kwong Yik Bank Berhad seterusnya menjadi Pengerusi Kumpulan AMBank hingga ke hari ini.

Selain itu, beliau juga dilantik sebagai Ahli dalam East Asia Business Council, ahli Majlis Penasihat Akademik Universiti Teknologi Petronas dan Leader ASEAN-Japanese Business Meeting (“AJBM”) (Jawatankuasa Malaysia, Keizai Doyukai). Seterusnya, beliau dilantik sebagai Penasihat Kanan, China Council for the Promotion of International Trade, Guangzhou Committee.

Di Universiti Terbuka Malaysia dan di Universiti Malaysia Sabah, Tan Sri Azman merupakan Pro Canselor dan juga merupakan salah seorang Timbalan Presiden Ken Cheng High School.

Dari segi tanggungjawab sosial, Tan Sri Azman terlibat dalam beberapa organisasi amal. Antaranya sebagai Pengerusi dan Pemegang AmGroup Foundation dan Yayasan Kepimpinan Perdana, pemegang amanah Yayasan Azman Hashim, Yayasan Tuanku Najihah dan Yayasan Canselor Open University Malaysia. Selain itu juga, beliau merupakan Pengasas dan Ahli Majlis Azman Hashim Family Foundation dan Azman Hashim Charitable Foundation.

Atas jasa dan sumbangan dalam pelbagai bidang, Tan Sri Azman telah dikurniakan pelbagai bintang kebesaran. Antaranya Darjah Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) pada tahun 1980 yang membawa gelaran Dato’, diikuti oleh Johan Mangku Negara (JMN) yang dianugerahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada tahun 1984. Seterusnya, Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada tahun 1988 yang membawa gelaran Tan Sri. Beliau juga dikurniakan pingat “Darjah Seri Setia Tuanku Mukhriz Yang Amat Terbilang” oleh Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan yang membawa gelaran “Dato Seri” pada tahun 2010.

Selain itu, beliau juga turut menerima pingat di peringkat antarabangsa. Antaranya The Order of The Rising Sun, Gold Rays with Neck Ribbon oleh Maharaja Jepun pada tahun 1987 dan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star pada 3hb November 2021, pingat ‘Asia’s Banker of the Year’ oleh Asian Finance (1985), pingat ‘Medal of the Order of Australia’ (A.O) oleh Governor-General of the Commonwealth of Australia and Chancellor of the Order of Australia (2008).

Sumbangan dan pencapaian beliau bukan sahaja diiktiraf di dalam negara bahkan di persada antarabangsa. Contohnya, Tan Sri Azman menerima anugerah ‘Most Oustanding Individual for Contribution to Islamic Finance’ di Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) ke-6 (2009),  anugerah ‘Lifetime Achievement Award’ semasa Anugerah Tahunan Perniagaan dan Kewangan Islam ke-4 di Dubai (2009), ‘‘Lifetime Achievement Award’ sewaktu acara Anugerah Tokoh Perniagaan Malaysia Ke- 2 (2010),  The Lifetime Achievement Award for Leadership in Banking and Finance Industry  di World Chinese Economic Summit (2015), ‘Islamic Finance Pioneering Initiative Award’ dari Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) (2016) dan ‘Malaysia Leadership Excellence Awards’ dari Institut Pengurusan Malaysia (MIM) pada 2016.