ANALISIS
SEBAIK sahaja Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan pelaksanaan umur 30 tahun ke bawah bagi pemegang jawatan pertubuhan belia, ramai yang ‘melompat’ dan membantah keputusan berkenaan.
Kebanyakan yang membantah tentunya hadir dalam kalangan pemimpin pertubuhan belia sendiri.
Menyingkap kembali, isu ini sebenarnya telah pun tercetus apabila bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan usul pindaan Akta Pertubuhan Belia 2007 pada tahun 2019.
Namun begitu, cadangan tersebut ditolak pelbagai organisasi belia tempatan kerana had usia itu diturunkan daripada 40 tahun kepada 30 tahun.
Ia berbeza dengan cadangan asal iaitu setakat 35 tahun.
Isu melibatkan umur 30 tahun ini kemudiannya reda apabila Kementerian Belia dan Sukan diterajui Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tidak berhasrat meneruskannya.
Bagaimanapun, Ahmad Faizal dalam sidang Parlimen minggu lalu membuat keputusan bahawa pelaksanaan berkenaan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2022.
Apa salahnya kepemimpinan belia di bawah usia 30 tahun?
Jika mengambil kira had umur belia ketika ini pun sudah diturunkan kepada 30 tahun, jadi sememangnya wajar kepimpinan belia diterajui lingkungan usia tersebut.
Keputusan itu juga boleh memberi peluang pertubuhan belia mencungkil bakat-bakat baharu.
Baca artikel berkaitan: Model Baharu Pembangunan Belia 2030 dilancar Mac 2022
Kebanyakan orang-orang muda yang terlibat dengan pertubuhan belia sebenarnya mempunyai visi dan misi tersendiri, boleh membawa idea baharu lebih segar sejajar dengan aspirasi belia zaman ini.
Mengambil kira had umur mengundi pun bakal diturunkan sehingga 18 tahun, maka pelaksanaan bawah 30 tahun ini bukanlah janggal.
Malah, ia sebenarnya patut dialu-alukan apatah lagi masa depan negara terletak di bahu belia.
‘Kerisauan’ pertubuhan belia kononnya ketetapan itu dibuat tergesa-gesa juga sebenarnya tidak patut timbul kerana pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Pindaan) 2019 atau Akta 668 telah dibentang dan diluluskan pada 2019 lagi.
Sejak diluluskan, pertubuhan belia sebenarnya mempunyai tempoh transisi selama tiga tahun untuk melaksanakannya.
Lagi pun, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tentu telah mempersiapkan dan menyokong proses ‘peremajaan’ kepimpinan belia menerusi pelbagai program.
Difahamkan KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara telah merangka inisiatif baharu bagi memantapkan lagi proses peralihan transisi umur belia itu.
Tidak mungkin kementerian itu akan membiarkan sahaja mereka ‘terkontang-kanting’ tanpa ada bantuan.
Segala perancangan telah pun diatur, jadi, sudah-sudahlah ‘menghentam’ menteri.
Apa yang dilakukan mesti ada sebab dan puncanya, bukan dilakukan sesuka hati sahaja.
Inisiatif ini patut disokong, bukan dikeji kerana bakat kepemimpinan belia perlu dipupuk daripada usia muda.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

