SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyita sebanyak 6,916 unit kelengkapan komunikasi yang disyaki tidak diperakui dengan anggaran nilai keseluruhan RM2.06 juta.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, unit kelengkapan komunikasi disyaki tidak diperakui itu disita menerusi Op V380 dilaksanakan pada 24 Jun lalu.
Menurut MCMC, operasi itu menyasarkan sebuah syarikat dipercayai terlibat dalam penjualan serta pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui dan tidak memenuhi piawaian teknikal ditetapkan MCMC.
Katanya, antara kelengkapan komunikasi yang disita ialah kamera litar tertutup tanpa wayar (CCTV).
Suruhanjaya itu memberitahu, beberapa peralatan lain yang turut disita ialah komputer, mesin pencetak, telefon bimbit dan penghala WiFi.
“Siasatan awal mendapati, kelengkapan komunikasi berkenaan ditawarkan dan dijual melalui platform e-dagang termasuk TikTok Shop dan Shopee.
“Seramai lapan individu termasuk pengurus syarikat, pembantu gudang dan hos siaran langsung telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, MCMC memberitahu, penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menjejaskan keselamatan pengguna kerana tidak mematuhi piawaian teknikal yang ditetapkan.
Selain berpotensi menjejaskan prestasi dan kebolehpercayaan peranti, katanya, penggunaannya juga boleh menyebabkan gangguan kepada rangkaian komunikasi serta menjejaskan kualiti perkhidmatan komunikasi.
“MCMC akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan, pengedaran serta pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan hanya kelengkapan komunikasi yang telah diperakui bagi memastikan keselamatan pengguna serta mengelakkan risiko gangguan kepada rangkaian komunikasi negara,” jelasnya.
Op V380 dilaksanakan hasil maklumat risikan menerusi kerjasama strategik antara MCMC dengan SIRIM QAS International Sdn Bhd selaku agensi pemerakuan berdaftar.
Seramai 44 pegawai telah terlibat dalam operasi yang dijalankan secara serentak di sebuah gudang penyimpanan di Klang serta sebuah premis yang dijadikan pejabat urusan dan studio siaran langsung di Johor Bahru.
Kes disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yag memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

