SEORANG lelaki dihukum mati oleh skuad penembak di Korea Utara selepas ditangkap menyeludup salinan digital siri drama Netflix popular Korea Selatan, Squid Game, lapor akhbar Mirror UK semalam.

Menurut laporan perkhidmatan berita Radio Free Asia (RFA), lelaki tersebut dipercayai menyeludup masuk salinan siri tersebut dari China menerusi pemacu USB.

Dia ditangkap selepas pegawai Korea Utara mendapat maklumat daripada sumber yang menyatakan bahawa lelaki tersebut menjual salinan-salinan siri itu kepada beberapa pelajar.

Penyeludup itu dihukum bunuh, manakala pelajar yang membeli pemacu salinan dilaporkan dipenjara seumur hidup, serta enam lagi yang menonton siri tersebut diarah menjalani hukuman melakukan kerja buruh selama lima tahun.

Sementara itu, beberapa guru dan pentadbir sekolah yang terlibat turut dipecat dan dihantar bekerja di lombong arang batu atau dibuang daerah ke kawasan-kawasan terpencil di Korea Utara.

Tangkapan terbaharu itu merupakan yang pertama kali pemerintah Korea Utara melaksanakan undang-undang ‘Penghapusan Pemikiran dan Budaya Reaksioner’ dalam kes yang melibatkan remaja bawah umur.

BERITA BERKAITAN 5 fakta menarik tentang Squid Game yang mungkin anda tidak tahu

Di bawah undang-undang tersebut, mana-mana individu yang didapati menonton, menyimpan atau mengedarkan bahan media dari negara-negara kapitalis terutamanya Korea Selatan dan Amerika Syarikat akan dihukum bunuh.

Minggu lepas, terdapat laporan yang menyebut bahawa beberapa salinan siri Squid Game telah diedarkan di beberapa kawasan di Korea Utara selepas diseludup masuk menggunakan peranti elektronik.

“Squid Game dibawa masuk ke negara ini menerusi peranti penyimpanan memori seperti pemacu kilat USB dan kad SD yang diseludup menerusi kapal,” kata seorang penduduk bandar Pyongsong kepada RFA.

Tambah sumber tersebut, penduduk Korea Utara menonton siri paling popular di Netflix itu secara rahsia di bawah selimut pada pada waktu malam menggunakan pemain media mudah alih. – Agensi

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram