KESAN penggambilan dos pertama suntikan vaksin telah menyebabkan pelakon Amerul Affendi berdepan alahan yang sangat teruk.

Ujar Amerul, dia sudah merujuk perkara berkenaan dengan pihak hospital yang sehingga kini masih belum dapat memberi maklum balas mengenai vaksin yang sesuai untuk dirinya.

“Saya sudah menerima dos pertama vaksin jenis Pfizer pada Julai lalu. Walau bagaimanapun, sehingga kini saya masih alami alahan dan ruam di seluruh badan

“Sebenarnya, sejak kecil saya memang ada penyakit asma dan alah dengan makanan laut. Tetapi ia sudah sembuh ketika saya berusia 14 tahun.

“Bila dah ambil vaksin dos pertama, alahan dan lelah itu muncul semula…mungkin saya tidak bernasib baik,” katanya kepada URTV.

Amerul berkata demikian ketika sidang media drama Jangan Ganggu Jodohku yang diadakan secara maya.

Sehingga ke hari ini Amerul masih belum lengkap dua dos suntikan vaksin seperti yang disarankan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Disebabkan itu, bintang filem One Two Jaga ini tidak sempat menghabiskan baki penggambaran drama Jangan Ganggu Jodohku dan wataknya terpaksa digantikan dengan pelakon lain.

“Disebabkan saya belum lengkap dua dos, produksi terpaksa membuat keputusan untuk menukarkan saya dengan pelakon Aloys Paradoks yang juga bertindak selaku penulis skrip bagi membawakan watak jin bernama Abu. Saya hanya sempat lunaskan 10 episod saja.

“Saya dah pun dapatkan surat daripada pihak pakar di Hospital tentang masalah ini. Malah, saya juga sudah berjumpa dengan pihak Finas untuk berikan surat sokongan doktor sebagai bukti.

“Pihak Finas sudah memberi pengecualian serta kebenaran untuk saya terus berlakon sekiranya ada tawaran,” tuturnya.

Jangan Ganggu Jodohku mengisahkan tentang Aliza yang mempunyai kebolehan untuk melihat roh yang tidak dapat dilihat oleh orang lain. Malangnya, perkara ini membawa kepada roh-roh itu mengganggunya.

Sejak kecil Aliza sudah berkawan dengan jin bernama Abu yang selalu menyelamatkan Aliza daripada diganggu. Namun, Abu sebenarnya sudah jatuh cinta pada Aliza.

Drama yang turut menampilkan Shaza Bae dan Yusof Bahrin selaku teraju utama itu akan disiarkan di saluran Astro Ria mulai 29 November ini menerusi slot Mega Drama.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram