FILEM Mencari Rahmat yang sudah dua kali ditunda tayangannya sebelum ini akhirnya akan menemui penonton pada 10 Jun hadapan.
Penerbitnya, Zuli Ismail berkata, penundaan tersebut dibuat memandangkan pawagam terpaksa ditutup bagi mengawal penularan pandemik Covid-19 pada ketika itu.
“Setelah terpaksa ditunda sebanyak dua kali, ingin saya nyatakan bahawa tarikh baharu untuk tayangan filem Mencari Rahmat adalah pada 10 Jun ini.
“Kami juga telah menerima surat daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang memaklumkan tentang tarikh tayangan yang baru ini,” jelasnya menerusi satu kenyataan media.
Zuli berkata, dengan tarikh baru yang telah ditetapkan ini, dia berharap agar tayangan filem Mencari Rahmat tidak akan lagi ditunda tayangannya di pawagam.
“Saya percaya memang ramai yang menantikan tayangan filem ini, cuma apa yang berlaku sebelum ini adalah di luar kawalan kami.
“Jadi, saya seru kepada penonton supaya jangan lepaskan peluang menonton filem ini apabila ditayangkan di pawagam nanti,” katanya.
Pada asalnya, Mencari Rahmat sepatutnya ditayangkan pada 18 Jun 2020, tetapi ia tunda ke tarikh 31 Disember tahun lalu.
Namun, ia sekali lagi ditunda berikutan pandemik Covid-19 yang melanda sehingga pawagam terpaksa menutup operasi buat sementara waktu.
Mencari Rahmat menampilkan pelakon terkenal antaranya, Nam Ron, Amerul Affendi, Sharifah Amani, Nadia Aqilah, Adibah Noor, Fauziah Nawi, Eric Fuzi dan Azman Hassan.
Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Youtube.

