Lelaki dalam klip video tular semalam ditahan polis untuk membantu siasatan ketika membuat laporan di IPD Shah Alam./ Gambar media sosial.

MARAH kereta dilanggar sekali pun, jangan pula ambil tindakan sendiri.

Sebaliknya tarik nafas dalam-dalam dan pergi balai polis buat laporan – biarkan siasatan mengambil tempat.

Justeru, apa yang berlaku kepada seorang lelaki yang dilihat ‘mengambil’ beg tangan seorang wanita yang melanggar belakang belakang keretanya seperti dalam video tular semalam harus mendatangkan iktibar.

Walaupun tujuannya untuk meminta wanita itu mengikutnya ke balai membuat laporan sekalipun, namun ingatlah, jangan bertindak sendiri.

Akibat tindakannya, lelaki berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan – seksyen berkaitan kesalahan mencuri.

Lelaki itu juga ditahan gara-gara insiden tersebut yang turut membawa kepada siasatan polis di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan berkaitan mendatangkan kecederaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, penahanan lelaki yang terlibat dalam kejadian di Kilometer 14.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur semalam itu bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek yang berusia 56 tahun ditahan pada pukul 6.30 petang semalam selepas hadir bagi membuat laporan polis berkaitan kemalangan jalan raya itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1.33 petang apabila seorang wanita yang memandu kereta BMW dari arah Klang menghala Kuala Lumpur terlanggar belakang kenderaan milik lelaki berkenaan.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59.

“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan diminta membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan..

Baharudin berkata, polis turut membuka kertas siasatan berhubung tindakan lelaki berkenaan mengikut Seksyen 379/323 Kanun Keseksaan.

Sejak malam tadi, tular di media sosial satu video berdurasi semint 30 saat yang memaparkan seorang lelaki dilihat mengambil beg tangan pemandu wanita yang melanggar keretanya dan meminta wanita berkenaan mengikutnya ke balai polis untuk membuat laporan.

Video itu memperlihatkan lelaki berkenaan meminta kad pengenalan wanita terbabit selepas kemalangan berkenaan.

Suasana kemudian bertukar menjadi tegang dengan pertengkaran dan berdasarkan video yang dipercayai dirakam wanita terbabit, lelaki itu dilihat ‘merampas’ beg tangan dalam BMW sebelum diletak dalam keretanya.