Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Anugerah Francais Malaysia 2021 di Putrajaya malam ini./ Gambar media sosial Bernama.

KERAJAAN berhasrat meneruskan program pembangunan francais mikro dan mampu milik pada tahun hadapan, di samping memastikan lebih ramai menerima manfaatnya terutama dari kumpulan B40 dan M40, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata program pembangunan francais mikro dan mampu milik yang diperkenalkan kerajaan tahun ini dengan tujuan membantu golongan B40 dan M40 menceburkan diri dalam industri francais, telah mendapat sambutan yang menggalakkan.

Katanya sehingga kini 144 permohonan daripada francaisor dan potensi francaisi bernilai lebih RM22 juta telah diterima untuk diproses bagi program di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu.

“Lapan francaisor dan 29 francaisi telah mendapat bantuan kerajaan menerusi program itu dengan peruntukan tahun semasa berjumlah RM4.5 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Anugerah Francais Malaysia 2021 ke-23 (MAF 2021) hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 6 April lepas mengumumkan pakej geran program berkenaan yang bertujuan membangunkan lebih banyak pakej francais bernilai RM100,000 ke bawah, serta meningkatkan bilangan pemain industri fancais daripada golongan B40 dan M40.

Ismail Sabri berkata kejayaan program francais mikro dan mampu milik itu merupakan sebahagian daripada petunjuk prestasi utama (KPI) 100 Hari Jemaah Menteri yang dinilai di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia.

Beliau berkata industri francais telah menyediakan lebih 80,000 pekerjaan dengan nilai sumbangan melebihi RM1.4 bilion dalam kitaran ekonomi setahun melalui pembayaran gaji kepada para pekerja di syarikat francais.

Sehingga 30 Nov (2021), nilai jualan industri francais telah mencecah RM14.6 bilion, peningkatan hampir 10 peratus berbanding tahun sebelumnya walaupun tahun kewangan semasa belum berakhir dan dunia masih berdepan pandemik COVID-19, katanya.

Beliau berkata Malaysia patut berbangga kerana jenama francais tempatan telah berjaya bertapak di lebih 70 negara dengan Arab Saudi menjadi negara terbanyak mempunyai outlet jenama francais Malaysia dengan sebanyak 744 outlet, diikuti Indonesia (670 outlet) dan Amerika Syarikat sebanyak 424 outlet.

“Dengan kebersamaan dan sokongan padu Keluarga Malaysia terhadap jenama francais tempatan, kita mampu meneroka dan mengembangkan lagi jenama francais Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.

Ismail Sabri berkata industri francais dijangka terus menyumbang ke arah pemulihan ekonomi negara mulai tahun ini hasil pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kerajaan akan terus menyokong pembangunan dan pertumbuhan industri francais demi memastikan lebih ramai pemain industri dapat dilahirkan serta lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk Keluarga Malaysia,” katanya.

Menurutnya di bawah Bajet 2022, khusus untuk pembangunan francais dan jualan langsung, kerajaan memperuntukkan RM3 juta bagi mendorong industri francais berkembang pesat.

Beliau berkata francais merupakan satu bentuk perniagaan yang semakin mendapat permintaan di kalangan peniaga dan orang ramai kerana konsep perniagaannya yang terbukti berdaya maju, selain jenamanya yang popular.

“Melalui sistem francais, perniagaan dapat berkembang dengan cepat menerusi rangkaian yang besar. Ini akan membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi dalam negara terutamanya di sektor makanan dan minuman; peruncitan; pendidikan dan perkhidmatan,” katanya.

Menurut Ismail Sabri jumlah perniagaan francais yang berdaftar di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sehingga kini berjumlah 1,093 syarikat meliputi jenama francais tempatan dan asing. 

Sementara itu Pengerusi MFA Datuk Radzali Hassan dalam ucapannya berkata MFA akan berusaha melaksanakan program dan aktiviti yang dapat memenuhi permintaan dan keperluan industri bagi menyokong usaha kerajaan mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang positif.

Mengenai majlis anugerah malam ini, 13 kategori anugerah disediakan melibatkan francaisor, francaisi, francaisi induk, media serta organisasi dan individu yang telah memberi sumbangan dan berjasa kepada pertumbuhan industri francais negara.

Global Art&Creative Sdn Bhd menerima Anugerah Francais Terbaik 2021 serta turut merangkul dua anugerah lain iaitu Francaisor Terbaik dan Inovasi Francais Terbaik.

Wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nor Amirah Mahmuddin pula memenangi Anugerah Wartawan Terbaik pada majlis sama dengan artikelnya bertajuk “Genius Aulad Peneraju Industri Pendidikan Awal Kanak-Kanak”.

— BERNAMA