Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan dakwaan kononnya penganjuran program Wanita Bangkit Berniaga dan MyKasih Kapital merupakan skim menguntungkan syarikat penganjur atas dasar ‘kroni’.

KPWKM dalam kenyataan menegaskan dakwaan dalam kedua-dua program yang sedang dilaksanakan kementerian itu sebagai palsu dan tidak benar.

Menurut KPWKM, program Wanita Bangkit Berniaga (WBB) merupakan satu kolaborasi strategik antara kementerian dengan syarikat penganjur tanpa kos.

Katanya, pemilihan syarikat berkenaan sebagai rakan strategik adalah berikutan kemampuan dan prestasi syarikat berkenaan terbukti dengan kejayaan melahirkan ribuan usahawan jutawan yang berjaya.

“Pada Oktober 2021, KPWKM telah melancarkan ‘Kempen Wanita Bangkit’ yang mana pada masa sama syarikat tersebut akan melaksanakan siri kempen Bangkit yang menyasarkan golongan wanita.

“Kolaborasi strategik antara kementerian dan bersama syarikat swasta dilihat satu usaha signifikan kerana matlamat program adalah bagi membantu golongan wanita tempatan yang terjejas pendapatan ketka mengharungi pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan dakwaan yang tular di laman Twitter kononnya program WBB dan MyKasih Kapital adalah sebuah ‘skim’ menguntungkan syarikat penganjur program keusahawanan terkenal di Malaysia atas dasar kroni.

Baca artikel berkaitan: Penggubalan RUU Anti Gangguan Seksual tetap jadi keutamaan KPWKM – Rina

Mengulas lanjut, KPWKM turut menafikan dakwaan pemilik akaun yang tukar berkenaan bahawa peserta diminta membeli sebuah buku semasa mengikuti program berkenaan.

Sebaliknya, peserta diberi pilihan sama ada ingin memuat turun e-buku secara percuma atau mendapatkan buku secara fizikal dan hanya perlu menanggung kos penghantaran.

Bagi program MyKasih Kapital pula, KPWKM berkata program tersebut merupakan bantuan suntikan modal untuk wanita memulakan perniagaan bagi menjana ekonomi keluarga yang telah dilancarkan sejak 12 April lalu.

Kata kementerian itu, peruntukan keseluruhan geran berjumlah RM2 juta oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyasarkan 4,000 wanita yang ingin berkecimpung dalam bidang perniagaan.

KPWKM memaklumkan program berkenaan telah mendapat sambutan menggalakkan daripada lebih 4,000 peserta dan telah melalui proses saringan sebelum diberi bimbingan melalui pelbagai aktiviti termasuk bengkel dan motivasi.

“KPWKM menyer tindakan tanpa usul periksa yang dibuat oleh pemilik akaun berkenaan kerana menggunakan bahasa kesat, dakwaan palsu, membuat tohmahan dan penghinaan yang keterlaluan terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

“Sehubungan itu, kementerian ingin mengingatkan pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan atau perkongsian agar tidak menyebarkan maklumat palsu.

“Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain turut berdepan tindakan saman di mahkamah,” jelasnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram