Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan membuat penyiasatan menyeluruh berhubung dakwaan wujud kartel di pelbagai peringkat dalam Jabatan Imigresen Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya telah pun dimaklumkan tentang perkara tersebut dan memberi jaminan akan menyiasat sehabisnya.

Menurut Hamzah, kewujudan kartel dalam Imigresen itu bukan hanya melibatkan kenaikan pangkat tetapi turut melibatkan penggunaan pihak tertentu untuk bekerjasama dengan sindiket luar.

Beliau berkata, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya didapati benar berlaku sedemikian.

“Ini (kartel) adalah sesuatu yang telah pun dimaklumkan kepada kita dan akan siasat sehabis-habisnya kerana sindiket yang gunakan pegawai dalaman ini daripada pelbagai tingkat.

“Kartel ini bukan hanya untuk naik pangkat tapi penggunaan pegawai tertentu bekerjasama dengan sindiket luar.

“Sebagai contoh, di Sabah baru-baru ini ada iklan bahawa sesiapa yang mahu mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) boleh berjumlah dengan individu-individu ini.

“Perkara ini sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh berlaku,” katanya dalam sidang akhbar sempena sambutan Hari Imigresen 2021, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Sokongan penjawat awam beri PN motivasi – Hamzah

Menurut Hamzah, ada juga sindiket yang menggunakan media sosial untuk mengiklankan perkhidmatan Imigresen kononnya bertindak sebagai ejen jabatan berkenaan.

Tegas beliau, Jabatan Imigresen tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk sebarang perkhidmatan di bawah jabatan tersebut.

“Mungkin (kartel) di seluruh negara tetapi saya juga dah dapat makluman daripada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud bahawa siasatan akan dibuat.

“Perkara ini adalah sesuatu yang menyalahgunakan perkhidmatan sepatutnya boleh buat dengan mudah tetapi seolah-olah ada agensi bertanggungjawab untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan Jabatan Imigresen.

“Itu tidak patut kerana kita tak melantik mana-mana ejen untuk dapatkan perkhidmatan di bawah Jabatan Imigresen,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram