Pelajar warga Bangladesh ditahan, terlibat sindiket pemalsuan pasport

Dari Penulis

JABATAN Imigresen menahan seorang lelaki warga Bangladesh selepas disyaki terlibat dalam sindiket mengubah suai pasport bagi membolehkan warga senegaranya melepasi saringan pemeriksaan kesihatan pekerja asing (FOMEMA).

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, tindakan dilakukan menerusi satu operasi khas di dua lokasi di sekitar Sentul, Kuala Lumpur pada 12 Februari lalu.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat awam dan risikan selama sebulan, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan menahan lelaki warganegara Bangladesh berusia 27 tahun itu.

“Semakan awal mendapati, warganegara Bangladesh tersebut memiliki Pas Pelajar yang masih sah laku.

“Pasukan operasi telah menyita 22 naskhah pasport Bangladesh yang disyaki palsu, kad akses, satu set komputer, mesin pencetak, mesin pemotong, mesin engrave laser dan mesin pemotong curve.

“Turut disita sebuah motosikal jenis Benelli Leoncino dipercayai digunakan dalam kegiatan ini,” jelasnya.

Beliau menambah, modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan perkhidmatan kepada warganegara Bangladesh yang berada di sekitar Lembah Klang dan ingin menjalani saringan FOMEMA, namun didapati tidak melepasi pemeriksaan atau berstatus tidak layak (unfit).

Katanya, pasport yang dipalsukan akan dipinda atau diubah suai mengikut keperluan bagi membolehkan ia digunakan semasa proses saringan kesihatan.

“Bagi mengelakkan dikesan, khidmat ‘runner’ akan digunakan untuk menghantar pasport palsu yang telah siap kepada pelanggan dengan pembayaran secara dalam talian.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai telah menghasilkan antara 200 hingga 300 naskhah pasport palsu dalam tempoh sebulan dan menjalankan kegiatan tersebut selama kira-kira enam bulan,” katanya.

Katanya, lelaki warganegara Bangladesh itu ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Sek.56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

“Seorang lelaki warganegara Malaysia telah diberikan Nnotis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” jelasnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Pemuda 23 tahun jatuh 9 meter ketika baiki silo di Ipoh

SEORANG pekerja kilang berdepan detik cemas apabila terjatuh dari ketinggian kira-kira sembilan meter ketika menjalankan kerja pembaikan di sebuah...

More Articles Like This