KISAH yang aku alami ini berlaku pada tahun 2009. Ketika itu aku masih menuntut di sebuah institut pengajian tinggi di ibu kota.

Ketika itu peperiksaan baru habis. Untuk menenangkan fikiran, aku bersama empat lagi rakan iaitu Hasan, Muaz, Fahmi dan Idris merancang untuk pergi berkelah. Lokasi kami pilih di kawasan sungai di Janda Baik, Pahang.

Hujung minggu, kami bertolak ke Janda Baik dengan menaiki sebuah kereta. Sampai di sana, dah jumpa lokasi yang best, kami tak tunggu lama, terus terjun ke dalam air. Lokasi kami mandi itu terletak di pinggir kawasan hutan.  

Dah puas berkelah, lebih kurang pukul 4.00 petang kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur dengan rasa puas. Tetapi, rupa-rupanya itu bukan penghujung perkelahan kami.

Sehari selepas itu, rakan aku si Hasan mendapat mimpi aneh dan menakutkan. Di dalam mimpinya muncul seorang wanita berjubah putih, rambutnya panjang sampai ke tumit dan menutup muka.

Wanita itu sangat marah. Dengan suara keras dia meminta Hasan memulangkan semula sebiji batu yang diambilnya sewaktu kami berkelah di sungai.

Mula-mula Hasan tidak endahkan mimpi itu. Tapi apabila setiap malam lembaga wanita itu muncul dalam mimpinya minta dipulangkan kembali batu sungai yang diambilnya itu, Hasan jadi takut.

Disebabkan terlalu takut dengan mimpi itu, Hasan buang tersebut ke luar rumah sewa kami. Ingatkan akan habis, rupanya tidak. Lembaga wanita itu jadi lebih marah. Kalau sebelum itu dia hanya muncul dalam mimpi, tapi selepas batu itu dibuang, ia mula mengganggu Hasan di merata tempat seolah-olah mengekori ke mana sahaja Hasan pergi.

Pernah tiba-tiba suatu petang ketika kami semua di rumah, Hasan dirasuk oleh wanita tua itu. Hasan meracau-racau, suaranya berubah serak dan kasar seperti suara perempuan tua. Mata Hasan terbeliak sambil terjerit-jerit, “Pulangkan barang aku! Pulangkan!!!”

Masa itu, kami semua hairan sebab tidak faham apa yang dimaksudkan oleh makhluk yang sedang menguasai jasad Hasan itu. Selepas Fahmi membisikkan ayat-ayat al-Quran, barulah Hasan tersedar dalam keadaan termengah-mengah.

Ketika itu barulah Hasan ceritakan apa yang berlaku. Sebelum itu, kami tak tahu pun perihal dia diganggu wanita tua itu. Dan kami juga tidak tahu Hasan ada mengambil batu di sungai itu.

Petang itu juga kami berlima mencari batu sungai yang telah dilemparkan Hasan di dalam semak di hadapan rumah. Tapi kami tak jumpa batu itu. Bila malam menjelma, jelmaan wanita itu muncul lagi.

Hasan menggigil, wajahnya pucat sambil menunjuk ke arah ruang tamu rumah, “Itu..! Itu dia! Dia datang lagi!”

Cuma Hasan seorang yang nampak wanita tua itu. Kami yang lain tak nampak apa-apa pun. Tak lama selepas itu, Hasan kena rasuk lagi. Kami cemas lihat keadaannya berdengus dan meronta-ronta. Suara perempuan tua yang serak itu keluar lagi dari mulut Hasan minta supaya dipulangkan semula batu tersebut.

Makhluk itu siap mengugut kami, “Aku bagi tempoh tiga hari! Kalau tak pulangkan batu itu, aku nak nyawa!”

Bila dengar ugutan tu, kami semua menggelabah. Fahmi laungkan azan sementara aku pula bacakan ayat Kursi di telinga Hasan beberapa kali. Tak lama lepas tu, barulah Hasan sedar semula.

Pagi esoknya kami keluar mencari batu itu semula. Batu sebesar tapak tangan itu akhirnya kami temui di celah-celah rumput dan daun-daun kering.

Tapi hati kami belum lega sebab teringat ugutan makhluk itu. Kalau kami gagal pulangkan semula batu itu dalam tempoh yang diberikan, maka nyawa jadi pertaruhan. Persoalannya, nyawa siapa yang ‘benda’ tu mahu?

Tak mahu tunggu lama, petang itu juga kami berlima memecut ke Janda Baik. Kami nak pulangkan segera batu itu ke tempat asalnya dan berharap supaya makhluk itu tidak lagi mengganggu kami semua.

Lebih kurang pukul 7.30 malam kami sampai di situ. Hasan terus meletakkan semula batu itu di tebing sungai. Selepas itu, kami terus memecut kereta untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Tapi belum lama kami bergerak, tiba-tiba Hasan beritahu dia nampak banyak makhluk aneh dan menakutkan di kawasan itu. Ada macam-macam bentuk dan rupa.

Tak sempat kami nak tarik nafas lega, Hasan yang duduk di belakang tiba-tiba menjerit suruh kami laju. Sambil tu dia asyik menoleh ke belakang kereta. Katanya, ada banyak makhluk menakutkan sedang mengejar kereta kami.

Cuma Hasan seorang yang nampak makhluk-makhluk itu. Kami yang lain tak nampak apa pun. Entah bila pula Hasan boleh ‘lihat’ benda-benda ghaib tu, kami pun hairan.

Dari menjerit ketakutan, Hasan tiba-tiba longlai tak sedarkan diri. Aku yang duduk sebelah Hasan masa tu pun dah naik takut. Dalam masa yang sama, Idris yang duduk di bahagian penumpang hadapan pula tiba-tiba mula meracau. Entah apa yang dicakapnya pun kami tak faham.

Sungguh, masa tu kami semua dah panik. Muaz yang memandu kereta pun dah cuba memecut untuk keluar dari situ. Tapi bukan boleh selaju macam pandu di lebuh raya sebab jalan di situ agak berbukit dan ada yang tidak rata.

Dalam kami tengah panik tu, Fahmi laungkan takbir sekuatnya. Sungguh, kami buntu masa tu tak tahu apa nak buat. Dengan Hasan yang dah tak sedar, si Idris pula asyik meracau dengan bahasa tak difahami.

Tak lama selepas keluar dari kawasan Janda Baik, kami nampak sebuah masjid. Terus kami singgah di masjid itu untuk dapatkan pertolongan. Jemaah masjid di situ termasuk imam tolong pulihkan semula Hasan dan Idris. Nasib baik mereka sedar semula.

Bila dah tenang, kami pulang semula ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah, selepas itu tak ada lagi gangguan aneh. Hassan pun tak lagi diganggu lembaga wanita tua itu. Dan dia pun tak ada dah nampak benda-benda ghaib. Memang kami berterima kasih sangat dengan ahli jemaah masjid yang tolong kami ketika itu.

Lepas kejadian tu, kami agak trauma nak pergi mandi sungai. Walaupun aku tak kena, tapi tetap rasa seram bila tengok kawan-kawan kena rasuk. Lagi pula bila terkenang keadaan Hasan bila dirasuk wanita tua tu.

Sebab itu bila ramai orang selalu pesan, jangan ambil apa-apa bila berkelah di sungai atau dalam hutan, ada benarnya juga. Memang sejak kejadian tu, kalau aku masuk hutan atau sungai, memang aku tak berani nak ambil apa-apa. Cukuplah pengalaman aku dengan kawan-kawan dulu.

**Diceritakan oleh : Syam Hamid, Kuala Lumpur

____________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare