Saya masih ingat kisah ini yang berlaku tahun 2004. Waktu itu, saya bekerja sebagai pemandu peribadi kepada seorang Datuk yang merupakan seorang rektor di sebuah kolej.
Hari itu, saya diarahkan membawa Datuk ke Cameron Higlands untuk menghadiri sebuah program dan mesyuarat. Memandangkan hari itu hari bekerja, jalan ke pusat peranginan itu lancar kerana tidak ramai pengunjung.
Selepas menghantar Datuk ke destinasi program, saya habiskan waktu berjalan-jalan di sekitar kawasan yang sering jadi tumpuan pengunjung di musim cuti.
Hanya selepas jam 12.00 malam, barulah Datuk selesai mesyuarat. Walaupun sudah lewat, kami harus bertolak pulang kerana keesokan paginya Datuk harus menghadiri sebuah lagi mesyuarat di Kuala Lumpur.
Menghampiri jam 1.00 pagi, saya memandu kereta mewah Datuk keluar dari kawasan peranginan itu. Saya memandu dengan kelajuan sederhana untuk turun ke Pekan Brinchang. Melalui jalan yang bersimpang–siur dan gelap membuatkan saya lebih berhati-hati.
Selepas sejam, kereta memasuki lebuh raya Utara Selatan. Tidak banyak kenderaan di atas jalan pada waktu begitu. Saya sempat menjeling cermin pandang belakang. Datuk sudah tertidur di sofa belakang. Mungkin terlalu penat kerana sudah seharian menghadiri program dan mesyuarat.
Saya terus memandu kereta dengan tenang. Sewaktu melalui kawasan Behrang, saya memandu dengan kelajuan sederhana di laluan kiri. Tiba-tiba mata saya menangkap sesuatu di atas jalan raya, betul-betul di laluan yang sama. Dari jauh, rupanya tampak putih dan panjang melintang di atas jalan raya.
Apabila semakin dekat… Ya Allah!!
Saya terkejut bila melihat objek di atas jalan raya itu adalah mayat yang sudah berbungkus kain kapan. Hujung kepala dan kaki sudah diikat bagai bunjut. Ia benar-benar melintang di atas jalan raya.

Kerana terkejut, saya membrek dan segera memusing stereng untuk masuk ke laluan sebelah kanan. Mujurlah saya sempat mengelak daripada melanggar ‘mayat’ yang sudah berkapan itu.
Tapi rupa-rupanya ia belum berakhir. Beberapa ratus meter di hadapan saya, sekali lagi mayat berkapan itu masih terbaring melintang di atas jalan. Sekali lagi saya membrek dan menukar haluan kereta ke laluan kiri.
Belum sempat menarik nafas lega, buat kali ketiga mayat itu muncul lagi di depan saya. Untuk ke sekian kalinya saya memulas lagi stereng ke laluan sebelah kanan bagi mengelak dari melanggar mayat berbungkus itu.
“Allahuakbar!
Hahnya itu lafaz yang keluar dari mulut saya. Jantung berdegup kencang. Hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya waktu itu. Kumat kamit mulut saya membaca apa saja ayat-ayat suci yang terlintas di fikiran.
Memang saya panik. Malah, saya memulas stereng secara spontan bagi mengelak daripada terlanggar bungkusan mayat itu. Mujur tiada kereta lain yang lalu ketika itu. Jika tidak, mungkin kami akan kemalangan.
Setelah kali ketiga membrek cuba mengelak, barulah Datuk yang duduk di belakang terjaga.
Dia bertanya, “Kenapa Rosli?”
“Tidak ada apa-apa Datuk,” hanya itu jawapan saya kerana tidak berani untuk bercerita lanjut.
Saya terus memecut kereta menyusuri lebuh raya yang lengang itu. Setibanya di Bangi, barulah saya ceritakan peristiwa yang berlaku kepada Datuk. Ingatkan dia akan terkejut.
Tapi sebaliknya Datuk hanya tersenyum dan menjawab selamba, “Oh, laluan di situ memang begitu.”
Saya terpinga-pinga. Dalam hati berkata ‘Kenapalah Datuk tak cakap awal-awal’.
Van Mayat Cina
Ini pula kisah lain. Ketika itu saya membawa Datuk untuk pulang ke Bangi setelah selesai mesyuaratnya di Pagoh. Jam sudah melebihi angka 12.00 malam. Datuk mengarahkan untuk pulang ke Bangi malam itu juga.
Saya memandu dengan kelajuan biasa. Pada waktu begitu, cuaca lebih sejuk dan pemanduan lebih tenang. Lebih-lebih lagi dalam keadaan jalan yang lengang berbanding waktu siang.
Sudah hampir satu jam memandu dalam kepekatan malam menuju ke Bangi melalui Lebuhraya Utara Selatan, kami berhenti di hentian Air Keroh sebelum menyambung kembali perjalanan.
Tidak lama kemudian, saya melihat ada cahaya lampu malap dari sebuah kenderaan yang berada di hadapan dalam jarak 100 meter. Saya mula memperlahankan kenderaan.
Rupa-rupanya ada sebuah van mayat cina di hadapan yang bergerak sungguh perlahan. Pemandunya memandu hanya sekitar 30 kilometer sejam.
Saya menukar gear rendah, bersedia untuk memotong. Melihat tiada kereta dari arah bertentangan , saya tekan pedal minyak dan terus memotong van tadi.
Semasa memotong sempat mata saya melirik ke arah cermin van. Saya lihat seakan ada binatang seperti monyet yang sedang bergayut-gayut dalam wan itu. Tapi, ia tidak nampak jelas.
Apabila melintasi bahagian pemandunya, sempat saya menoleh sekilas. Cerminnya agak malap, tidak kelihatan pemandunya.
Selepas melepasi van itu, saya sempat menjeling melalui arah cermin pandang belakang. Lampu van yang malap tadi kian hilang dari pandangan sedangkan jarak kami tidaklah terlalu jauh.
Dalam hati saya tertanya-tanya mana pemandu van itu? Takkan la orang Cina tanam mayat waktu pagi begitu? Takkan hanya ada sebuah sahaja van mayat, mana kereta-kereta pengiring yang lain? Saya mula seram sejuk. Tanpa berfikir panjang saya tekan pedal minyak sekuat hati, tidak lagi menoleh ke belakang.
Datuk yang duduk di belakang tidak tahu keadaan itu kerana sudah lena. Hanya apabila sampai di Bangi dan selepas dia terjaga, barulah saya ceritakan perihal van tadi kepadanya.
“Oh, kat area situ memang ramai dah orang jumpa. Macam-macam kenderaan pelik yang mereka nampak. Lupa saya nak beritahu kamu,” selamba saja Datuk menjawab sambil tersenyum.
Seperti biasa, saya hanya terpinga-pinga mendengarnya. Maklumlah, sebelum ini saya memang jarang tahu tentang kisah-kisah aneh yang berlaku di jalan raya sewaktu memandu.
“Alah Datuk, kenapa lah tak cakap awa-awal,” kata-kata itu hanya berani saya suarakan dalam hati.
Kalau lah saya satu jalan itu ‘berhantu’, memang saya tak akan beranikan diri memandu melaluinya di waktu begitu. Tak berani!
*Seperti yang diceritakan oleh Rosli Othman kepada Mastika.
___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

