ZAMIR tersandar di kerusi. Tingkap yang dibiarkan terbuka menghadiahkan suasana malam yang sunyi tanpa sahutan cengkerik.
Zamir membuka cermin mata dan meraup muka. Tiada siapa ketika ini di dalam bilik hostel yang dihuni oleh dia dan Ramli. Ramli entah ke mana, mungkin sedang bersantai-santai di kedai kopi mahal di luar kawasan kolej mereka.
Zamir bangun lalu bergerak ke arah tingkap. Pandangannya di lemparkan ke arah jalan raya, tidak seperti malam-malam yang sebelumnya, malam ini kenderaan agak kurang.
Tiba-tiba pandangannya tersorot ke arah sebuah bas berwarna biru putih yang bergerak perlahan dan ketika itu juga ingatannya berlari mengingati apa yang terjadi kepada bapa saudaranya bernama Husein dan rakan sekerjanya Mahmud, lebih 20 tahun yang lalu di kampungnya di utara tanah air…

HUSSEIN merupakan pemandu bas dan Mahmud pula adalah konduktornya atau dahulunya dipanggil ‘kolet’ bas oleh penduduk setempat.
Setiap hari mereka akan melalui jalan yang sama daripada Bandar Sungai Petani melalui kampung-kampung kecil dan perhentian terakhir sekali adalah di Pekan Tikam Batu. Pada ketika itu jalan-jalan kampung masih kelam, kenderaan di waktu malam juga amat kurang.
Suasana amat sunyi, tambahan pula angin timur yang bertiup menambah dingin suasana biarpun bas henti-henti itu tidak mempunyai alat pendingin hawa. Husein yang memandu bas sedang asyik melayan lagu dangdut yang disiarkan radionya yang kadangkala tenggelam dek deruman enjin bas tua itu.
Mahmud pula bersandar di tepi Husein dengan tangannya mengira-ngira wang kertas kutipan tiket. Sesekali hatinya terdetik juga rasa kehairanan kerana malam ini langsung tidak ada penumpang, namun rasa gusar itu ditepis dengan pantas. Hatinya ingin pulang segera memandangkan jam telah hampir pukul 10.00 malam dan ini adalah perjalanan terakhir mereka.
Matanya melirik ke arah Husein yang mulutnya terkumat-kamit mengikut lirik lagu yang entah betul entah tidak. Mahmud pernah mendengar khabar angin yang ramai orang kampung takut keluar malam disebabkan berhampiran dengan Tikam Batu telah dibuka sebuah kilang keranda.
Kononnya sejak kilang keranda itu dibuka ramai yang terserempak dengan makhluk menyeramkan. Mahmud melurut-lurut lengannya yang tiba-tiba terasa seram, hatinya juga entah kenapa berdebar-debar bagai ada yang tak kena. Matanya meliar melihat ke luar tingkap bas namun hanya gelap sahaja yang kelihatan, dari kejauhan ternampak kerlipan lampu dari rumah-rumah kampung.
“Husein, hang ada dengar tak kisah orang dok jumpa hantu sejak ada kilang keranda tu?” suara Mahmud serius bagaikan separuh berbisik, matanya meliar memandang sekeliling.
Husein membeliakkan matanya, tiba-tiba ketawanya pecah sementaranya tangannya mengawal stereng bas yang sebesar talam itu.
“Hang ni, percaya sangatlah cerita orang. Mengarutlah, kita ni dok bawa bas dah nak masuk 20 tahun tak pernah nampak apa pun,” Husein membalas sedikit angkuh.
Mahmud hanya diam. Tangannya menggaru-garu kepalanya yang tak gatal. Hasratnya ingin bertanya terus terbantut dek jawapan rakannya itu.
Sebaik sahaja mereka memasuki Kampung Bukit Kecil, Husein memperlahankan bas. Ada seorang perempuan melambai-lambai menahan bas.
Berkeriut bunyi brek bas ketika Husein memberhentikan bas itu. Perempuan berbaju kurung warna kuning air berambut panjang separas lengan. Rambut panjangnya tidak pula diikat, dibiarkan saja ditiup angin.
Dia menaiki bas tanpa memandang ke arah Husein dan Mahmud. Kedua mereka berpandangan melihat perempuan itu yang berjalan terus menuju ke tempat duduk yang paling belakang, kemudian membuka tingkap sehingga habis.

“Hang pi tanya dia nak turun mana?” Husein memberi arahan seraya itu bas bergerak.
Mahmud akur lalu menuju ke arah perempuan itu yang memandang ke luar. Pandangannya kosong, angin yang menerobos masuk mengelus kasar rambutnya sehingga menutupi mukanya yang nampak polos. Jari-jemarinya yang runcing pula memegang kerusi depan dengan kemas. Seingat Mahmud dia tidak pernah ternampak perempuan ini.
“Tambang cik, nak pi mana ya?” Mahmud menegur namun perempuan itu bagaikan tiada reaksi. Pandangannya tetap memandang keluar.
“Ehem, ehem… nak turun kat mana cik?” Mahmud mencuba lagi namun tetap tidak diendahkan.
Hatinya mulai geram, dia berpaling dan terus menuju ke depan. Kakinya dihentak kasar dengan rengusan tidak puas hati. Sesekali dia menoleh ke arah perempuan itu namun tetap sama. Perempuan berusia lingkungan 30-an itu tetap duduk kaku bagaikan patung.
“Gila kot, aku tanya tambang pun dia tak bagi, aku tanya nak turun mana dia tak jawab,” Mahmud merungut.
Husein hanya mendengar, hatinya turut dijentik rasa hairan. Tak pernah pula ada penumpang sebelum ini berkelakuan pelik. Bukan tak pernah bas yang dipandunya dinaiki orang gila tapi sekurang-kurangnya mereka tahu hendak ke mana.
“Biarlah dekat dia Mud, sekejap lagi kita tengok dia turun di mana,” kata Husein.
Ketika itu bas telah melewati simpang antara hendak menuju ke Batu Lintang dan Simpor. Husein membelok ke arah Simpor untuk menuju ke Pekan Tikam Batu. Mahmud pula duduk di kerusi paling hadapan, sesekali dia melirik ke belakang melihat gelagat perempuan itu yang tidak berubah dari tadi.
Tiba-tiba sebaik sahaja mereka menghampiri kilang keranda, terdengar bunyi loceng bas. Perempuan itu berdiri tegak namun matanya masih memandang keluar. Husein segera menghentikan bas. Mereka berdua saling berpandangan.
“Kenapa pulak dia nak turun dekat kilang keranda ni?” bisik Husein kepada Mahmud.
Hatinya mulai resah apabila dilihatnya perempuan itu memegang tingkap dengan kemas, kemudian berpaling kepada mereka dan melemparkan senyuman yang amat menyeramkan.
Sekelip mata badan perempuan itu bagaikan bersatu dengan angin menjadi bayang nipis yang berwarna putih dan melayang keluar sepantas kilat melalui tingkap.
Mahmud terpaku, jarinya terketar-ketar menunjuk ke arah perempuan itu.
“ Hu..hu..sein….” jerit Mahmud tersekat-sekat.
“Ya..aku nampak!!!” jawab Husein antara percaya dan tidak.
Tanpa berlengah lagi bas tua itu dipecutnya laju dan Mahmud terduduk di kerusi dengan nafas yang turun naik tidak keruan.
Malam itu mereka tidak mahu menggunakan jalan itu semula untuk pulang ke Stesen Bas di Sungai Petani. Husein dan Mahmud rela mengikut jalan jauh asalkan tidak perlu lagi lalu di hadapan kilang keranda itu.
-Oleh : Shazmira, Sungai Petani, Kedah.
____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

