PELAKON terkenal, Zul Ariffin,35, berkongsi kesudiannya untuk memberi tunjuk ajar kepada pelakon baharu yang digandingkan bersama di dalam filem ataupun drama.
Menurut laporan Utusan Malaysia, pemilik nama Zulkifli Ariffin itu meletakkan ‘syarat’ utama kepada pelakon yang sanggup meletakkan dedikasi tinggi untuk menuntut ilmu serta membuang ego agar dapat memperbaiki mutu lakonan.
“Penonton dan peminat meletakkan harapan besar untuk melihat lakonan dan gandingan yang berkesan apabila melihat seseorang pelakon yang diminati tampil di kaca televisyen. Saya terbuka untuk bergandingan dengan sesiapa pun sama ada dia pelakon baharu atau lama.
“Malah saya juga tidak kisah untuk membantu, mengajar pelakon baharu asalkan mereka mahu belajar, letakkan dedikasi dan buang ego mereka ke tepi.
“Penonton percayakan lakonan saya dan bila saya keluar di kaca televisyen, mereka meletakkan harapan untuk melihat keberkesanan lakonan dan dengan siapa saya bergandingan,” ujarnya.
Pelakon drama Rindu Awak 200% itu turut berkongsi bahawa dia cuba menjadi pasangan pelakon yang mudah memberi kerjasama.
“Bila berlakon, kita tidak boleh ‘fly’ solo. Kalau saya seorang yang memberi, ia tidak akan menjadi.
“Jadi saya tidak kisah untuk ‘baby sit’ pelakon gandingan saya di set penggambaran, walaupun saya tidak dibayar untuk berbuat demikian,” katanya.
Sementera itu, Zul yang sering dilihat mendalami ilmu agama bersama pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew, turut berkongsi bahawa dia mahu memperbaiki lisan dalam usaha menjadi manusia yang lebih baik.
“Ramai sudah tanya soalan ini dan apa yang boleh saya katakan, saya akan cuba jaga lisan dahulu. Perubahan itu akan berlaku secara perlahan-lahan.
“Bila berlakon, bukan saya yang request untuk dukung heroin saya. Tetapi saya hanya mengikut perjalanan cerita yang ditetapkan.
“Kalau dukung pun, saya tak rasa apa-apa. Terasa seperti mendukung kerusi sahaja,” ujarnya.

