PERTBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membina hubungan strategik memperkasa pencarum dalam kalangan Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA).

Melalui MoU itu, Perkeso dan MAF akan bekerjasama melaksanakan ‘Prevention and Disability Management Program’ merangkumi pelaksanaan inisiatif pengurusan hilang upaya yang komprehensif, pencegahan dan promosi kesihatan demi manfaat ODHA.

Perkeso diwakili Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed manakala MAF oleh Pengerusinya Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Mohammed Azman yang memetik data Jabatan Perangkaan dalam ucapannya berkata sehingga tahun lepas, 88 peratus daripada 80,428 ODHA di Malaysia adalah berusia antara 20 hingga 49 tahun dan dikelaskan sebagai aktif bekerja atau tenaga buruh.

“Justeru, untuk menjamin tahap kebolehpasaran golongan ODHA dalam pasaran buruh negara, adalah penting untuk kita memastikan kesihatan mereka berada pada tahap yang optimum…sekali gus mengelakkan mereka daripada mengalami hilang upaya bekerja dan keilatan,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian itu, semalam.

Mohammed Azman turut mengalu-alukan ODHA yang berminat untuk menyertai program Return To Work anjuran Perkeso dan mendapatkan sokongan yang diperlukan untuk kembali atau kekal bekerja di tempat kerja masing-masing.

Pada majlis yang sama, Perkeso turut memberi sumbangan sebanyak RM276,000 kepada Skim Bantuan Perubatan (Skim PAL) di bawah kelolaan MAF bagi menampung kos rawatan second-line Antiretroviral Therapy (ARV) bagi ODHA selama setahun.

Sumbangan itu akan memperbaiki kualiti kehidupan dan menyuntik semangat golongan ODHA untuk terus bekerja dan menyumbang secara positif dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Sementara itu, Dr Adeeba berkata sokongan Perkeso terhadap program Skim PAL MAF amat penting dalam usaha mencapai sasaran untuk mengakhiri epidemik AIDS menjelang 2030 yang amat bergantung kepada keupayaan menghubungkan ODHA dengan rawatan ARV.

“ARV merupakan senjata paling efektif untuk menghalang kesan negatif jangkitan virus HIV dalam tubuh manusia. Dengan ARV, jangkitan HIV yang dahulunya dianggap sebagai hukuman maut kini berubah menjadi pengalaman hidup yang menghampiri normal,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Adeeba berkata hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2020 mendapati 75 peratus orang dewasa di Malaysia mempunyai stigma terhadap ODHA berbanding hanya 22.6 peratus yang mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai HIV/AIDS.

Justeru, Dr Adeeba berharap kolaborasi dengan Perkeso berkenaan akan membantu MAF untuk menghapus stigma dan diskriminasi masyarakat dihadapi ODHA selain menggalakkan lebih banyak sokongan daripada agensi kerajaan lain terhadap MAF. 

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare