
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara perlu memberi perhatian serius terhadap impak peningkatan suhu global melebihi 1.1 darjah Celsius yang mengakibatkan musim kering dan kekerapan kejadian banjir.
Menurut Perdana Menteri, penekanan terhadap perkara itu dibuat semasa Mesyuarat Ketiga Majlis Air Negara (MAN) 2021 yang dipengerusikannnya secara maya hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri-Menteri Persekutuan, Menteri-Menteri Besar/Ketua-Ketua Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta Ketua-ketua Jabatan/Agensi berkaitan.
Jelas beliau, mesyuarat tersebut menyarankan supaya tindakan yang mengambil kira faktor kesan perubahan iklim perlu dilaksana segera dalam perancangan pembangunan bagi mengelak peningkatan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa pada masa hadapan.
Selain itu, kata beliau, mesyuarat turut menegaskan mengenai agenda transformasi sektor air yang bermula di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) hingga RMK15 yang akan menjadikan sektor air sebagai pemboleh daya ekonomi serta penjana pertumbuhan dinamik menjelang 2040.
“Kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri adalah amat penting dalam memastikan agenda transformasi tersebut berjaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Perdana Menteri, menyedari kepesatan proses perbandaran menyebabkan banjir kerap berlaku ketika hujan lebat, MAN bersetuju terhadap cadangan pewartaan perizaban tanah kerajaan bagi memastikan pengekalan fungsi kolam takungan banjir dan rizab sungai, menjamin kualiti sumber air bersih serta memulihara alam sekitar.
Katanya, gangguan kepada fasiliti atau komponen ini akan menjejaskan keseluruhan sistem tebatan banjir yang merangkumi komponen utama sungai dan kolam takungan banjir.Â
Selain itu, MAN juga bersetuju agar tindakan dan adaptasi aras lindung pantai bagi jangka pendek, sederhana dan panjang atau penyelesaian berasaskan alam semula jadi (Nature Based Solution) perlu mengambil kira faktor perubahan iklim serta kenaikan aras laut dalam perancangan dan pembinaan.
“Ini supaya aras lindung pantai tersebut mampu menangani bencana ekstrem bagi mengurangkan impak bencana dan menjamin kelestarian sosioekonomi dan pembangunan negara,” jelasnya.
Kata Perdana Menteri, MAN juga setuju terhadap kerjasama pelaksanaan inisiatif air pulih guna antara Indah Water Konsortium Sdn. Bhd dengan syarikat operator air negeri bagi mengoptimumkan sumber air negara dan menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar melalui konsep ekonomi kitaran (‘circular economy’) dalam menguruskan sumber air negara.