"APA salahku " - mungkin itu yang dikatakan oleh sang kucing. - Gambar hiasan Internet

APALAh salah sangat yang boleh dilakukan oleh si comel kesayangan ramai itu sehingga ada manusia yang sanggup membunuhnya dengan menembak sampai mati?

Begitupun, nasib si bulus kali agak terbela apabila manusia yang berlaku kejam terhadapnya berjaya dihadapkan ke mahkamah untui dibicarakan.

Hari ini, seorang pesara polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di Kuala Lumpur atas dua pertuduhan melakukan khianat iaitu menembak seekor kucing jantan dan melepaskan tembakan di tempat awam.

Zainol Abidin Md Zain, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Fadli Nik Azlan, memetik laporan Bernama.

Dia didakwa dengan sengaja membunuh haiwan itu menggunakan selaras senapang patah di kawasan kebunnya di Kampung Setia, Kuang, Selangor pada 6.40 petang 1 Julai tahun lepas mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa melepaskan tembakan di tempat awam menggunakan senjata sama pada masa dan di tempat sama mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 43 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan M. Mariappan merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan Zainol Abidin seorang pesara dan menanggung isteri serta tujuh anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 24 Feb 2022 untuk sebutan kes. – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram