SEBUAH gurun berhampiran Bolson de Mapimi di wilayah Durango di Mexico digelar sebagai zon paling sunyi. Kawasan ini yang dikenali sebagai ‘zone of silence’ terbentang antara Durango, Chihuahua dan Coahuila dianggap lokasi paling sepi. Tiada manusia yang tinggal di sini kecuali reptilia paya dan serangga.

Di sebalik kesunyian itu, tersimpan banyak cerita misteri di kawasan ini. Ia tidak diketahui dunia luar sehinggalah pada 11 Julai 1970, apabila sebuah peluru berpandu Athens milik Amerika Syarikat terjatuh di dalam kawasan ini kerana mengalami kegagalan mekanikal.

Pasukan tentera udara Amerika yang diarahkan menyiasat dan menjejaki roket itu menemui sesuatu yang aneh. Isyarat gelombang elektromagnet atau satelit tidak dapat menembusi zon itu menyebabkan tiada pancaran gelombang dapat diterima. Kegagalan itu menjadi punca nahas udara yang sering berlaku di sekitar wilayah tersebut.

Kawasan ini dikenali sebagai zon paling sunyi.

Perkara yang sama pernah dilaporkan pada tahun 1930 oleh seorang juruterbang dari Mexico, Francisco Sarabia bahawa frekuensi radio tidak akan berfungsi apabila memasuki kawasan itu.

Misteri itu awalnya telah dibongkar oleh jurutera Harry de la Pena, iaitu orang pertama yang menemui zon ini dan titik gangguan radio yang membingungkan itu.

Menurut Harry, adalah mustahil untuk berkomunikasi antara satu sama lain melalui walkie talkie di sini. Isyarat gelombang radio juga tidak dapat dihantar pada kelajuan dan frekuensi normal. Apabila diaktifkan isyarat radio, akan kedengaran suara seakan-akan orang berbisik-bisik sebelum senyap secara tiba-tiba.

“Seperti ada kuasa medan magnet yang sangat tinggi untuk memalapkan isyarat gelombang dalam wilayah itu. Jika ini wujud tidak mustahil ia boleh menarik objek dari angkasa lepas untuk mendarat di daerah itu,” kata Harry.

Tiada sebarang isyarat dan gelombang elektromagnet dapat menembusi kawasan ini.

Spekulasi ini diperkuatkan menerusi kenyataan Dr. Santiago Garcia bahawa sifat luar biasa kawasan itu mula disedari sejak pertengahan abad ke-19 lagi. Ketika itu, ‘batu kerikil panas’ dari langit kerap jatuh ke zon itu. Kesan kawah akibat hentaman meteor juga telah ditemui di Chihuahua pada akhir tahun 1950 dan disusuli beberapa penemuan aerolit lain di sekitar wilayah sama.

Kajian yang dibuat oleh Luis Maeda Villalobos ke atas meteor itu mendapati ia mengandungi struktur kristal dan material sangat kuno serta paling tua dalam alam semesta.

Menurutnya, sistem suria kita wujud sekitar 6 juta tahun dahulu, tetapi usia meteor yang ditemui di zon itu dianggarkan lebih 13 juta tahun.  Berdasarkan kenyataan itu, saintis menyimpulkan bahawa unsur logam dalam meteor itu merupakan pencetus kepada tenaga magnet luar biasa di wilayah tersebut.

Tiada manusia tinggal di kawasan ini.

Jika kekuatan anomali magnet boleh menarik objek asing daripada luar angkasa, apakah wilayah itu menjadi tapak pendaratan pelawat angkasa lepas? Tidak ada jawapan khusus untuk soalan ini.

Bagaimanapun pada tahun 1972, seorang jurukamera yang berkunjung ke wilayah misteri itu dikatakan berjaya merakam sebuah UFO berwarna perak berkilat mendarat di tempat yang dikenali sebagai ‘Magnet Hill’.

Pengalaman aneh turut dialami oleh pasangan suami isteri, Ernesto dan Josefi na Diaz ketika mengumpul batuan luar biasa dan fosil unik di zon itu pada Oktober 1975.

Ketika mereka asyik mengumpul batuan di situ, tiba-tiba turun hujan lebat menyebabkan kawasan di situ ditakungi air menjadi paya, dan menyebabkan tayar kereta mereka terperangkap dalam lumpur.

Kemudian, entah dari mana muncul dua orang lelaki memakai sut baju hujan dan topi kuning menawarkan bantuan menolak kenderaan mereka. Anehnya, semasa si suami hendak mengucapkan terima kasih, kedua-dua lelaki itu ghaib sekelip mata. Bertambah pelik, tiada sebarang jejak tapak kaki mereka ditemui di kawasan lumpur itu.

Cerita penduduk tempatan pula, mereka juga kerap dikunjungi oleh dua lelaki dan seorang perempuan bersusuk tubuh tinggi, berambut panjang berwarna perang dan mahir bertutur bahasa Sepanyol.

Mereka ini kerap dilihat meminta tuan rumah mengisi air ke dalam botol kosong. Peliknya, mereka langsung tidak pernah meminta makanan atau benda lain. Apabila ditanya mereka berasal dari mana, trio itu hanya tersenyum sambil berkata, mereka dari atas. Menurut pengkaji Sepanyol, Antonio Ribera, trio berambut perang ini turut mengunjungi perkampungan Rosellon di Pyrenees, Greek.

Pada bulan November 1978, seorang wartawan, Luis Ramirez Reyes bersama seorang jurugambar ditugaskan untuk mendapatkan cerita aneh tentang kehidupan biologi luar biasa di sebuah makmal biosfera milik kerajaan Mexico di wilayah tersebut.

Sampai di pertengahan gurun, mereka tersesat. Tiba-tiba muncul dua lelaki dan seorang perempuan beberapa meter di hadapan mereka.

Ramirez menyangka trio itu adalah penduduk tempatan yang boleh menunjukkan arah ke makmal biosfera itu. Dia pun meminta rakannya memperlahankan kereta untuk bertanya. Namun, ketika berpaling hendak membuka tingkap, trio itu hilang.

Takut dengan situasi itu, kenderaan mereka dipandu laju. Tidak lama kemudian, kelibat trio itu muncul lagi dan mereka dilihat berlari mengejar kereta Ramirez dari arah yang berbeza.

Setelah kereta diberhentikan, Ramirez berbual dengan mereka. Dia diberitahu trio tersebut bahawa mereka keluar mencari beberapa haiwan peliharaan. Bagaimanapun, menurut pegawai makmal biosfera di situ, tidak pernah ada manusia di gurun itu, selain pasukan biosfera dan tidak ada ternakan yang wujud di zon itu.

Sehingga hari ini, kawasan ‘Mapimi Silent Zone’ ini terus menimbulkan banyak tanda tanya kepada para pengkaji.

Mapimi Siilent Zone yang menyimpan pelbagai misteri.

__________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen