SEMALAM, pelakon jelita, Intan Ladyana, 40, memaklumkan khabar gembira apabila dia sudah bebas daripada wabak Covid-19 dan dibenarkan pulang rumah selepas 11 hari dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.
Menerusi perkongsian Intan di Instagramnya, dia menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakannya selama ini dan memohon maaf tidak dapat membalas ucapan orang ramai.
“Assalamualaikum, alhamdulilah saya sudah pulang. Kini baru pulih, untuk beberapa hari lagi. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas semua doa dan ucapan selamat. Maaf saya tidak dapat membalas setiap ucapan secara individu,” ujarnya.
Sementara itu, pelakon yang popular filem Kembar Siang itu turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat tahun baru kepada umum dan mendoakan kesejahteraan orang ramai.
“Saya juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat tahun baru kepada semua. Semoga kita semua diberi kesihatan yang baik, kebahagiaan hidup dan jauh dari segala malapetaka dan bencana. Amin,” katanya.
Terdahulu, Intan dan suaminya, Harris Alif dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mereka disahkan positif Covid-19 dan rata-rata peminat meluahkan kebimbangan kepada Intan yang sedang sarat hamil tujuh bulan.

