JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan individu yang memperoleh sijil vaksinasi dipercayai palsu dari sebuah klinik swasta di Marang.
Menurut laporan BH Online yang memetik Pengarah JKNT, Datuk Dr. Kasemani Embong, individu terbabit akan diberikan nasihat dan sesi kaunseling bagi memastikan mereka menerima suntikan vaksin.
Menurut beliau, pihaknya juga masih menunggu siasatan daripada polis sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap doktor dan klinik tersebut.
“Hasil siasatan mendapati klinik swasta berkenaan dibenarkan untuk memberikan suntikan vaksinasi secara berbayar sejak September tahun lalu dan memohon dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV).
“Permohonan menjadi PPV diluluskan pada akhir Disember tahun lalu dan pendaftaran klinik serta lesen doktor berkenaan boleh dibatalkan sekiranya didapati bersalah,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Sijil vaksinasi palsu: 6 ditahan jadi ejen bantu doktor cari pelanggan
Semalam, media melaporkan polis Terengganu telah menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19 palsi di Marang, Sabtu lalu.
Doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama JKNT selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan tersebut.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik tersebut untuk tujuan vaksinasi.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya masih menyiasat berapa jumlah sebenar yang tidak mendapatkan suntikan, namun hanya mendapat sijil vaksin palsu.
“Difahamkan setiap individu yang ingin mendapatkan sijil vaksinasi palsu ini, mereka perlu membayar antara RM400 hingga RM600 berbanding harga sebenar suntikan RM300 sahaja,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

