JABATAN Penjara Malaysia (JPM) akan melaksanakan projek rintis CamMuka 2.0 di Penjara Kajang bermula Jun ini bertujuan mengekang kes pemalsuan identiti dalam kalangan banduan dan mengenal pasti penjenayah dengan lebih berkesan.
Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad berkata, projek yang dibangunkan bersama CyberSecurity Malaysia (CSM) itu adalah projek perintis yang pertama seumpamanya diaplikasikan di penjara di negara ini dan akan diperluaskan selepas ini.
“Ia bagi memperkasakan lagi agenda Transformasi Penjara demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Projek berteknologi tinggi berkenaan dapat meningkatkan kecekapan urusan JPM dan menambahbaik hasil keberkesanannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara JPM dan CSM bagi Program Pengukuhan Keupayaan Forensik Siber Negara di Ibu Pejabat JPM di Kajang, hari ini.

Sebelum itu, beliau menandatangani MOU bersama wakil CSM iaitu Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab.
Majlis disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohd Sayuthi Bakar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Mastura Ahmad Mustafa.
Melalui MOU itu, Nordin berkata, lima program sudah dilaksanakan bersama termasuk Kursus Digital Forensic for First Responder, Konsultasi dalam Value Lab bagi Peralatan Digital Forensik, Bengkel Kumpulan Kerja Forensik Digital yang turut disertai 18 agensi lain, Penempatan kerja di Makmal Forensik CSM dan membangunkan prosedur operasi standard (SOP) Mobile Phone Forensics ke arah pensijilan ISO 17025:2017.
Selain itu, JPM berharap CSM dapat juga membantu menghasilkan satu kaedah yang boleh digunakan untuk memantau Orang Bebas Berlesen (OBB), Orang DiParol (ODP) dan Orang DiSelia (ODS) yang ditempatkan di pelbagai sektor seperti sektor perkilangan, perladangan, pertanian serta penternakan, katanya memetik laporan Harian Metro.
Katanya, sehingga kini seramai 74,879 banduan menjalani program pemulihan di luar penjara.
Sementara itu, Dr Amirudin berkata, perkongsian data oleh JPM dapat membantu pihaknya menambah baik teknologi pengecaman biometrik dan analitik data raya melalui sistem CamMuka yang dibangunkan sebelum ini.
“Kita (CSM) mempunyai kepakaran untuk membangunkan sistem, tetapi kekurangan data bagi meningkatkan prestasi sistem CamMuka. Sistem ini mampu mengenalpasti identiti suspek di dunia siber dan digunapakai dalam penyiasatan serta dibawa ke mahkamah,” katanya.
Katanya, Kecerdasan Buatan (AI) di sebalik CamMuka 2.0 terbukti dan disokong dengan jurnal saintifik selain SOP dan metodologi yang mengikut piawaian forensik digital seperti garis panduan ‘Scientic Working Group on Digital Evidence’.
Justeru, beliau percaya penambahbaikan sistem CamMuka itu membolehkan ia dilaksanakan di semua agensi penguat kuasa lain untuk membantu mengenalpasti identiti penjenayah dengan lebih berkesan serta menjimatkan kos.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

