Anggota penjara didakwa, lima lagi hadap tindakan tatatertib

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

SEORANG anggota penjara didakwa di mahkamah manakala lima lagi kakitangan berdepan tindakan tatatertib susulan insiden yang berlaku di Penjara Taiping pada 17 Januari tahun lalu.

Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, pertuduhan terhadap anggota terbabit dibuat mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan hasil siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama penuh jabatan itu.

Menurut kenyataan itu, lima lagi kakitangan kini sedang menjalani prosiding tindakan tatatertib yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

“Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam menegakkan prinsip akauntabiliti, integriti dan kedaulatan undang-undang.

“Jabatan tidak akan melindungi atau berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang atau peraturan perkhidmatan tanpa mengira pangkat atau jawatan,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu turut menegaskan amalan toleransi sifar terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang dalam kalangan pegawai dan kakitangannya.

Menurut kenyataan itu, setiap aduan atau dakwaan yang diterima akan disiasat secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Dalam masa sama, Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan pihaknya menghormati proses siasatan serta prosiding perundangan yang masih berjalan dan akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa tanpa menjejaskan proses berkenaan.

Mengulas laporan Inkuiri Awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berhubung insiden tersebut, jabatan berkenaan menegaskan pengurusan dan layanan terhadap penghuni penjara sentiasa dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang, termasuk Akta Penjara 1995 dan Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Sementara itu, Jabatan Penjara Malaysia berkata usaha memodenkan infrastruktur penjara akan diteruskan melalui Kementerian Dalam Negeri, termasuk cadangan pembinaan kompleks penjara baharu bagi menggantikan institusi yang telah uzur.

Menurutnya, Penjara Taiping yang kini berusia 146 tahun dan berstatus Bangunan Warisan Kebangsaan antara institusi yang dikenal pasti memerlukan penggantian bagi memenuhi keperluan semasa.

“Pembinaan fasiliti baharu yang lebih moden, selamat dan kondusif penting untuk meningkatkan kecekapan pengurusan institusi, memperkukuh aspek keselamatan serta menjaga kebajikan prospek dan pegawai penjara,” katanya.

Jabatan itu menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh keyakinan awam terhadap sistem koreksional negara melalui tadbir urus yang telus, profesional dan berintegriti.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Tambang percuma LRT3, bas pengantara sebulan mulai esok – Anwar

ORANG ramai boleh menikmati perkhidmatan percuma Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam selama sebulan bermula esok...

More Articles Like This