IMPIAN seorang remaja perempuan yang menderita kanser tulang tahap empat untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akhirnya menjadi kenyataan.
Ini setelah pemimpin nombor satu negara itu berkunjung ke kediaman remaja berkenaan, Nursyazrina Suryanto, 15, di Pangsapuri Pangsapuri Megah Villa di Kota Warisan, Sepang, semalam.
Menerusi catatan Facebook Perdana Menteri, beliau berkata, Nursyazrina merupakan seorang penghidap kanser dan dia pernah memberitahu bapanya mengenai hasratnya itu.
Menurutnya, bapa Nursyazrina kemudian menyampaikan hasrat itu kepada Setiausaha Politik beliau sehingga berlakunya lawatan mengejut berkenaan.
“Alhamdulillah, hari ini saya dapat merealisasikan impian adik Syazrina dengan membuat lawatan mengejut ke rumahnya. Terkejut dan teruja adik melihat kehadiran saya,” tulis Ismail Sabri.
Mengulas lanjut mengenai kunjungan itu Perdana Menteri memberitahu, sebelum pulang, Nursyazrina bersungguh-sungguh hendak bangkit dan berjalan bersama beliau.
“Saya sememangnya bimbang akan keadaannya namun dia tetap mahu menghantar saya ke kereta. Begitu kuat semangat adik (Nursyazrina).
“Semoga Allah SWT memberi kesembuhan kepada adik Nursyazrina agar dia bisa mencapai cita-citanya. Allah uji tanda Allah sayang,” tambahnya.
Syazrina, dahulunya seorang remaja yang aktif bersukan, sebelum menderita kanser tulang tahap 4 hingga mengakibatkan tubuhnya separa lumpuh.
Anak kelima daripada lima beradik itu baru sahaja didiagnosis kanser pada bulan Oktober tahun lepas dan kini menjalani rawatan setiap bulan.
Difahamkan pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sepang, Bandar Baru Salak Tinggi itu sudah menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC).
Bapanya, Suryanto Suraidi, 46, pula kini tidak bekerja untuk menjaga Syazrina selain membawanya mendapatkan rawatan di hospital yang ditanggung sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor.