Diskriminasi wanita dalam hadis
Sekadar gambar hiasan

“Wahai kaum wanita bersedekahlah kamu dan banyakkan istighfar. Kerana aku melihat kamu yang paling banyak menjadi penghuni neraka.” Seorang wanita yang pintar di antara mereka bertanya, “Wahai Rasulullah kenapa kami yang paling banyak menjadi penghuni neraka?”

Rasulullah bersabda, “Kalian banyak mengutuk dan mengingkari (kebaikan) suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal daripada golongan kamu.” Wanita itu bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, apakah maksud kekurangan akal dan agama itu?

Rasulullah bersabda, “Maksud kekurangan akal ialah persaksian dua orang wanita sama dengan persaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mengerjakan solat pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka puasa pada bulan Ramadan (kerana haid), maka inilah yang dikatakan kekurangan agama.” HR Muslim & Bukhari

Berdasarkan hadis di atas, al-Shaikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah, Mantan Mufti Arab Saudi telas menjelaskan dengan berkata,

“Ini tidak bermaksud wanita itu kurang dalam segala sudut merangkumi sudut ketaqwaannya kepada Allah, pelaksanaannya terhadap perintah Nya dan ketelitiannya dalam melakukan sesuatu urusan. Sebaliknya, kekurangan ini adalah kekurangan yang khusus pada akal dan agama seperti yang dijelaskan oleh Nabi s.a.w.

Justeru, adalah tidak boleh bagi seorang lelaki yang beriman untuk mengatakan bahawa wanita itu kurang dalam semua perkara dan kurang dalam semua urusan agama. Sebaliknya, kekurangan itu hanyalah dalam satu sudut khas dalam urusan agamanya dan juga kekurangan akal yang berkaitan dengan persaksian dan seumpamanya.”

Lelaki dan wanita mempunyai hak yang sama untuk mendapat rahmat Allah Ta’ala. Kedua-duanya berhak memasuki syurga Allah Ta’ala. Cuma dari sudut bentuk, rahmat ini berbeza di antara lelaki dan wanita, sesuai dengan perbezaan mereka.

Perkara pertama yang dinyatakan dalam hadis di atas ialah dalam bab menjadi saksi, persaksian seorang lelaki bersamaan dengan persaksian dua orang wanita. Ini kerana jika salah seorang daripada dua saksi wanita itu terlupa atau tersilap maka seorang lagi boleh mengingatkannya.

Ini sebenarnya merujuk kepada sifat wanita yang tidak sama dengan sifat lelaki, secara umum dan global. Di dalam hal yang membabitkan emosi dan ingatan, kebiasaannya wanita tidak sekuat lelaki. Jadi Allah Ta’ala meraikan sudut kelemahan ini dengan meletakkan dua wanita bersamaan satu lelaki dalam masalah persaksian.

Wanita dan lelaku punya kekurangan dan kelebihan masing-masing. Dan Allah itu Maha Adil

Al-Shaikh Abdul Rahman al-Sa‘di rahimahullah, telah menghuraikan perkara ini dalam kitabnya Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan dengan berkata,

Di antara petunjuk ayat ini (ayat 282 Surah al-Baqarah) ialah Hikmah dalam persaksian dua wanita menyerupai persaksian seorang lelaki ialah kerana kebiasannya ingatan wanita lemah berbanding ingatan lelaki.”

Begitu juga al-Imam Ibnu Hajar rahimahullah telah menjelaskan perkara ini dengan berkata,

“Memperingatkan dengan saksi kedua menunjukkan kekurangan ingatannya dan ini menunjukkan kekurangan akalnya.”

Perkara kedua yang dinyatakan dalam hadis di atas ialah solat; lelaki berbeza dengan wanita di mana lelaki wajib menunaikan solat lima waktu tanpa gagal jika masih waras dan sedar. Wanita pula diberi kelonggaran oleh Allah Ta’ala di mana wanita tidak perlu solat bila datang haid atau datang bulan.

Wanita Memang Ada Kekurangan Tapi…

Dari satu sudut, memang ini merupakan kekurangan wanita jika dibandingkan dengan lelaki. Lelaki yang menunaikan solat penuh dalam sebulan sudah tentu pahalanya lebih daripada wanita yang tidak solat pada waktu haidnya. Namun wanita tidak perlu risau kerana ini merupakan fitrahnya sebagai seorang wanita. Wanita yang meninggalkan solat semasa haid tidak berdosa.

Hendaklah diyakini bahawa ini bukan diskriminasi mahupun pilih kasih, sebaliknya ini adalah ujian dan juga pemberian yang Allah Ta’ala berikan kepada lelaki dan wanita sesuai dengan kelebihan dan kelemahan mereka.

Artikel berkaitan: Pesanan khas buat wanita dari Rasulullah s.a.w. fahamilah dengan ilmu dan iman bukan dengan emosi

Perlu ditekankan di sini bahawa pensyariatan ini adalah berdasarkan kepada keadaan lelaki dan wanita secara umum dan global. Namun tidak dinafikan bahawa terdapat sahaja sebahagian lelaki yang tidak setabah sebahagian wanita dan sebahagian wanita yang lebih baik daripada sebahagian lelaki.

Di awal hadis ini, Rasulullah s.a.w. telah menggalakkan para wanita untuk bersedekah dan beristighfar. Ini menunjukkan dua amal ibadah ini adalah merupakan amalan yang hebat untuk menjauhkan seseorang itu daripada api neraka. Keistimewaan dua amal ibadah ini adalah kedua-duanya menjanjikan pengampunan Allah Ta’ala.

Berkenaan dengan sedekah, Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Ali Imran: 133 dan 134,

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”

Perhatikanlah bagaimana keampunan dan syurga diberikan oleh Allah Ta’ala kepada orang-orang yang bertaqwa yang sering bersedekah mendermakan hartanya pada masa senang dan susah.

Berkenaan dengan istighfar iaitu meminta ampun atas segala dosa, Allah Ta’ala berfirman dalam Surah al-Nisa’: 110

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Perhatikanlah bagaimana Allah Ta’ala menggesa orang yang melakukan kejahatan, maksiat dan menzalimi diri sendiri agar segera memohon keampunan daripada Nya kerana Dia pasti akan memaafkan dan mengampunkan.

Semoga Allah Ta’ala menjadikan kita hamba-hamba Nya yang sentiasa bermuhasabah terhadap maksiat yang dilakukan, seterusnya berusaha untuk menghapuskan bahana maksiat itu dengan memperbanyakkan sedekah dan istighfar. Wallahu a’lam

_______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare