BEKAS penyanyi anggota T-ARA iaitu Park So-Yeon berkongsi berita gembira apabila memaklumkan bakal mendirikan perkahwinan bersama pemain bola sepak Cho Yu-min.

Difahamkan, So-yeon,34 dan Yu-min ,25 yang merupakan pemain bola sepak bagi kelab Suwon FC sudah menjalinkan hubungan cinta hampir tiga tahun.

“Soyeon dan Cho Yu Min akan berkahwin pada bulan November selepas tiga tahun bercinta. Perkahwinan akan diadakan apabila musim Cho Yu Min berakhir.

“Kami memohon sokongan dan cinta daripada anda buat mereka berdua pada masa hadapan. Dan kami juga memohon anda berikan perhatian buat aktiviti So-yoen yang akan datang,” jelas agensi Think Entertainment dalam satu kenyataan hari ini.

Malah dalam hari yang sama juga, pelantun lagu Lovey-Dovey ini turut memuat naik sebuah perkongsian di Instagramnya yang memaklumkan berita gembira membabitkan perkahwinannya.

“Hello, ini Soyeon. Saya menulis surat secara peribadi untuk memberitahu kepada peminat saya tentang berita yang telah dikeluarkan.

“Pada Julai 2009, saya bertemu peminat saya buat kali pertama, dan selama 12 tahun, saya sentiasa berasa berterima kasih kepada semua orang dan memohon maaf dalam masa yang sama.

“Dan hari ini adalah hari untuk saya memberitahu semua orang bahawa saya akan berkahwin. Dari debut saya hinggalah sekarang, saya sentiasa bimbang untuk menunjukkan sisi baik saya, jadi perubahan ini tidak biasa dan sangat teruja buat saya,” ujarnya.

Tambahnya, dia telah membuat keputusan untuk berkahwin bersama Yu-min dan akan membalas sokongan peminat dengan mengeluarkan karya yang lebih baik.

“Saya memutuskan untuk menghabiskan sisa hidup saya dengan seseorang yang saya syukuri oleh kerana sentiasa menyokong dan percaya kepada artis Soyeon dan seorang Park Soyeon, menceriakan saya supaya saya boleh menghadapi cabaran tanpa berputus asa setiap kali saya letih, dan melakukan usaha yang ikhlas kepada ibu bapa tercinta saya.

“Sebagai seorang yang lebih matang dan stabil pada masa hadapan, saya akan cuba membalas budi peminat saya dengan muzik yang lebih baik dan pelbagai aktiviti.

“Saya akan menjadi Soyeon yang sentiasa bersama peminat. Tolong berikan kami banyak keberkatan dan sokongan. Terima kasih,” ujarnya.