DISIPLIN dan komitmen menjadi kunci utama mengapa pelakon Fasha Sandha kekal bertahan dalam industri seni selama 16 tahun.
Malah menjadi kelaziman buat Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan,38, untuk tiba awal di lokasi penggambaran sebagai survival buat dirinya menghormati masa dan pihak yang terlibat.
“Sejak 16 tahun lalu saya memang jenis senang bangun pagi untuk memulakan rutin sebagai ibu, isteri dan anak seni.
“Saya selalu cakap dekat artis baru bahawa lama-kelamaan kita akan jadi ‘lama’. Itu putaran hidup.
“Cuma kalau tak bagus tak apa, berusaha memperbaiki kelemahan dan jaga benda yang boleh dijaga contohnya disiplin dan komitmen kerja.
“Dua hal itu saya tak boleh berkompromi. Insya-Allah ada jalan dan rezekinya. Pada masa sama kita terus gilap bakat dan sentiasa belajar.
“Tahap sekarang pun populariti yang saya fikir. Kalau ada… bonus,” kata Fasha pada majlis memperkenalkannya sebagai duta atau pengguna setia produk vitamin C Gebu Glow keluaran Wawawien Beaute di ibu kota.
Siapa sangka, rahsianya yang sering bangun awal pagi dan memulakan rutin harian selepas solat Subuh itu telah memberi rezeki yang melimpah kepada keluarganya dalam pelbagai cara.
Malah hingga kini biar berganti wajah pelapis dunia seni, isteri kepada aktor Aidil Aziz itu tetap berada pada di liganya yang tersendiri.
Malah selepas kali pertama membintangi drama Scammer Mei tahun lalu di Astro Ria terbitan Radius One Sdn. Bhd, jodohnya terus melekat dengan produksi berkenaan.
Ia diikuti dengan drama Khilaf Asmara bergandingan dengan Fahrin Ahmad, Nelydia Senrose dan Fattah Amin.
Seterusnya diikuti drama 80 episod yang masih melunaskan baki penggambaran iaitu Dendam Seorang Isteri buat kali pertama bergandingan dengan Nad Zainal.
Hinggakan ibu kepada Putra Rayfal, Putri Raysha Jemyma serta Aisha Amaira itu pernah didakwa ‘anak emas’ produksi berkenaan.
“Tak ada istilah ‘anak emas’. Cuma saya pertaruhkan cara bekerja dan disiplin. Mungkin itu juga buat produksi berkenaan senang dan terus tawar peluang kerja kepada saya.
“Nak kata saya jauh lebih hebat daripada pelakon lain, tidak sama sekali. Ramai bakat baru yang cantik dan ‘bergetah’.
“Namun rezeki itu tak akan salah alamat. Ikutkan akan ada kesinambungan drama Scammer 2. Tapi saya terikat dengan komitmen lain,” kongsinya kepada URTV.
Tidak hanya ‘laku keras’ dengan tawaran seni, kakak kepada Elisya Sandha ini juga banyak ditawarkan untuk duta produk.
Malah jika mengikuti perkembangannya di Instagram, tag line ulasan produk atau makanan dipanggil ‘tak sedap kami tak kongsi’ juga mencuri perhatian.
Pendek kata, Fasha tidak sembarangan atau asal boleh dalam menerima kerja ulasan produk. Sejak dulu lebih 15 produk sudah memilihnya menjadi duta.

“Seperti ‘jodoh’ saya dengan produk vitamin C ini pun bermula ketika menjayakan kempen tiga bulan sejak Oktober tahun lalu untuk mencuba dan merasai keberkesanannya.
“Saya pun sama seperti adik-beradik pengasas Wawawien yang tak suka makan kapsul atau tablet.
“Ia didatangkan dalam bentuk serbuk. Ternyata produk itu serasi dengan saya kerana bukan tujuan untuk memutihkan kulit sebaliknya menjadikan kulit lebih sihat.
“Rezeki berpihak kepada saya sejak Disember tahun lalu kerana dilamar sebagai duta atau pengguna setia selama setahun.
“Malah wajah saya juga sudah terpampang di billboard seluruh Malaysia sepanjang lebuh raya,” tuturnya.
Kata Fasha, dia tersentuh hati melihat kesusahan yang dilalui pengasas produk berkenaan untuk membantu golongan wanita terutama suri rumah serta individu bekerjaya untuk sama-sama menjana pendapatan sebagai agen.
“Hati dan naluri saya sebagai wanita serta ibu mudah rapuh dalam hal ini. Saya faham kesusahan golongan wanita dan ibu di era pandemik COVID-19 ini. Ada yang terputus rezeki dan hilang kerja.
“Mereka ingin bantu golongan itu bangkit dan berjaya. Saya menyokong 100 peratus aspirasi dan semangat murni itu.
“Modal nak jadi agen pun semurah RM299. Istimewanya dihadirkan set edisi terhad Fasha Box Gebu Glow menggabungkan perisa blackcurrant dan strawberi dalam satu sachet.
“Hanya 25000 kotak saja dikeluarkan. Satu kotak ada 10 sachet dengan harga RM29.90 dan boleh beli menerusi agen sah di tanda pagar #GGboss,” kongsinya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

