TULAR di media sosial, pelakon Fizo Omar atau nama sebenar Wan Hafizol Wan Omar, 37, didakwa mengabaikan anak perempuannya, Wan Maryam ketika bercuti di taman tema di Johor Bahru pada Ahad lalu.

Menurut Fizo, dakwaan yang dibuat oleh bekas isterinya itu, Mawar Karim adalah tidak masuk akal kerana tujuan percutian itu adalah untuk meluangkan masa bersama Maryam.

“Logik ke saya buat begitu? Semua tahu bagaimana rapatnya hubungan saya dengan anak.

“Bukan setiap hari dapat jumpa anak, jadi jika dapat bersama saya akan hargai setiap masa yang ada.

“Dia seorang sahaja anak saya, saya bercuti pun untuk dia,” katanya memetik laporan mStar.

Malah, ekoran daripada isu terbabit, ia telah menyebabkan orang ramai membuat pelbagai spekulasi mengenai hubungan anak dan isterinya, Fazeera Nazri.

“Maryam rapat dengan isteri saya, sekali lagi saya katakan tak logik jika dia abaikan.

“Rasanya tidak perlulah saya membalas sebarang kenyataan tidak benar hanya kerana sekeping gambar. Orang tidak tahu hal sebenar secara tiba-tiba nak serang saya.

“Sebagai bapa, saya menjalankan tugas dengan baik. Saya juga yakin jika saya tidak bertanggungjawab, Maryam tidak akan rapat dengan saya,” ujarnya.

Terdahulu, Mawar menerima kiriman gambar Maryam daripada seorang individu di mana anaknya keseorangan ketika sedang bercuti bersama Fizo sekeluarga di Legoland Malaysia, Johor Bahru.

Menurut Mawar, dia risau akan keadaan anaknya yang mengadu sedih selepas selesai bercuti bersama bekas suaminya.

Bagaimanapun, Fizo kemudiannya tampil memberi penjelasan dan menepis dakwaan yang dibuat oleh Mawar Karim berkaitan dengan isu ini.

Untuk info, Fizo dan Mawar selamat disatukan pada 10 November 2013 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Wan Maryam yang kini berusia empat tahu.

Namun, ikatan perkahwinan selama enam tahun tersebut terlerai pada 2019 dan Fizo kini mendirikan rumah tangga kali kedua bersama Fazeera pada 21 Oktober 2021.