SEKITAR penghujung abad ke-19, Muar pernah mempunyai aliran kereta api yang menjadi pengangkutan utama penduduk. Projek yang dikenali sebagai Muar State Railway (MSR) itu menghubungkan 13 stesen di antara Bandar Maharani ke Parit Jawa, yang mana fungsi dan kegunaannya dikatakan hampir sama dengan sistem LRT yang wujud di Lembah Klang.

Berdasarkan kepada catatan sejarah, Muar merupakan jajahan terbesar yang pertama dimajukan di negeri Johor. Daerah Parit Jawa pula merupakan daerah terpenting bagi Muar di mana penduduknya mengusahakan tanaman gambir, kelapa dan pinang pada abad ke-19.

Pada akhir tahun 1880-an, dua projek besar telah dijalankan di daerah Muar iaitu menyediakan pusat pembekalan air dan membina jalan kereta api di antara Bandar Maharani dengan pekan Parit Jawa.

Pada 13 November 1887, satu rundingan diadakan di antara Residen Ungku Sulaiman dengan Datuk Bentara Luar yang pada masa itu berjawatan sebagai ketua Jabatan Tanah dan Hal Ehwal Pertanian Daerah Muar. Satu persetujuan telah dicapai untuk melaksanakan projek tersebut yang bertujuan memberi kemudahan kepada penduduk dan pelajar sekolah berulang alik ke sekolah Inggeris di bandar Muar secara percuma.

Pada 13 September 1888, majlis pecah tanah untuk memulakan projek ini telah diadakan di Bandar Maharani yang turut dihadiri oleh baginda Sultan dan pembesar-pembesar negeri yang lain.

Pesuruhjaya Jabatan Kerja Raya Negeri Johor, Water F. Garland, telah ditugaskan untuk memantau pelaksanaan projek ini. Usaha pembinaannya diserahkan kepada sebuah syarikat pemborong.

Bandar Muar pada hari ini.

Tetapi sekitar penghujung 1889, disebabkan kerja-kerja yang dilakukan kurang memuaskan, kerajaan Johor telah mengambil alih semula usaha pembinaannya. Bagi menjimatkan kos, pekerja-pekerja tempatan dan buruh dari tanah Jawa telah digunakan.

Dalam tahun yang sama juga, rel sepanjang 16.5 kilometer dengan lebar dua kaki enam inci telah berjaya dibina. Laluan ini merentasi kawasan Parit Bakar yang ketika itu dikenali sebagai Padang, menghubungkan pekan Parit Jawa dan pusat-pusat perkampungan lain menuju ke pelabuhan Bandar Maharani.

Dengan adanya perkhidmatan ini, pelabuhan Bandar Maharani menjadi bertambah sibuk dengan urusan kendalian import dan eksport hasil pertanian ke wilayah Melaka dan Singapura. Justeru, untuk mengawasi perjalanan perdagangan keluar masuk ini, satu pejabat Syahbandar telah diwujudkan.

Pentadbiran kereta api ini terletak di bawah jagaan Jabatan Kerja Raya Johor (JKRJ). Orang pertama yang dilantik sebagai Ketua Besar JKRJ ialah Sir Campbell. Namun, pada tahun 1904, beliau telah mati tertembak oleh senapangnya sendiri dan diganti oleh W. A. Leach.

Keretapi Muar. – Arkib Negara.

Ketika zaman kegemilangannya, Pejabat Kereta api Muar ini mempunyai 70 orang pegawai dan kakitangan. Kesemua kakitangan terdiri daripada orang-orang Melayu, melainkan jawatan ‘Foreman’ dan ‘Fitter’ sahaja dipegang oleh dua orang berbangsa Eropah.

Kereta api yang digunakan menggunakan enjin stim yang mana bahan bakarnya ialah arang, sementara kelajuan maksimum kereta api tersebut ialah 20 kilometer (KM) sejam. 

Ia beroperasi dengan lapan buah gerabak dan lima daripadanya dikhaskan untuk penumpang, manakala tiga gerabak di belakang untuk pengangkutan barang-barang dagangan. Di bahagian penumpang terdapat kelas pertama, kedua dan ketiga yang sentiasa penuh. Setiap penumpang pula dikenakan bayaran sebanyak 5 sen sebatu.

Kegemilangan MSR di Muar telah mencetuskan idea kepada Sultan Johor untuk menyambungkan lagi laluannya hingga ke Batu Pahat. Namun rancangan ini gagal kerana kekangan kewangan dan faktor kawasan geologi tanah yang lembut.

Bagaimanapun selepas terbinanya jalan raya di antara Muar dan Batu Pahat, serta peningkatan kemudahan-kemudahan awam yang lain, penggunaan kereta api ini semakin kurang mendapat sambutan penduduk.

Dari tahun ke tahun, penggunaannya semakin berkurangan. Akhirnya pada tahun 1925, perkhidmatan kereta api MSR telah ditutup secara rasminya.

Replika kepala keretapi MSR.

Di sebalik kegemilangannya, mungkin banyak pihak yang tidak menyedari tentang kewujudan lingkaran aliran kereta api Muar ini. Ia adalah disebabkan oleh kedudukannya yang tersendiri dan tidak bersambung dengan laluan Kereta api Tanah Melayu yang menghubungkan Singapura dan Padang Besar. Dengan kata lain, aliran kereta api ini hanya bergerak di daerah Muar sahaja pada ketika itu.

Kini, ia hanya tinggal sejarah. Tiada lagi laluan MSR yang wujud di bandar Muar kerana semua laluannya telah dilitupi oleh jalan raya yang lebih teratur dan tersusun. Apa yang tinggal hanyalah replika kepala kereta api MSR yang dipamerkan di Tanjung Emas, Muar.

Selain itu, hanya bukti gambar dan catatan lengkap geran tanah sahaja yang menjadi dalil bahawa suatu ketika dahulu Muar pernah mempunyai sistem aliran kereta api ringan yang sangat sistematik.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen