TERLALU emosi dan gagal menahan air mata. Demikian reaksi penyanyi Adele apabila konsert Las Vegas Residency anjurannya yang dijadualkan berlangsung esok terpaksa dibatalkan dalam tempoh 24 jam sebelum persembahan susulan penularan wabak Covid-19 melibatkan kru belakang tabir.

Adele berkongsi berita duka itu menerusi video yang dimuat naik menerusi Instagram miliknya.

“Saya betul-betul minta maaf. Persembahan saya belum sedia. Pihak kami sudah mencuba segala yang termampu untuk mengadakan persembahan seperti waktu dirancang.

“Bagaimanapun, semuanya dihancurkan oleh kelewatan penghantaran dan Covid-19.

“Separuh kru dan pasukan saya dijangkiti Covid-19. Mereka masih belum sembuh. Agak mustahil untuk mengadakan persembahan,” luahnya kecewa.

Pelantun lahu Easy On Me itu cukup terkilan dengan kejadian yang dianggap memalukan dan berjanji akan ada tarikh baharu untuk semua persembahan Las Vegas Residency anjurannya.

“Saya minta maaf perkara ini berlaku pada saat akhir. Pihak kami tak boleh tidur sejak lapan jam lalu nak selesaikan masalah ini tapi memang tiada masa.

“Saya sangat terkilan dan sangat-sangat malu. Maaf buat mereka yang terpaksa datang semula.

“Pihak kami akan menjadualkan semula semua tarikh persembahan. Saya akan selesaikan persembahan dan akan buat apa yang sepatutnya,” katanya.

Adele sepatutnya memulakan persembahan Las Vegas Residency di Caesars Palace, Las Vegas, Amerika Syarikat esok, namun terpaksa membatalkan ekoran wabak maut Covid-19 dan akan ada tarikh baharu yang bakal diumumkan kelak.