PERSONALITI media sosial terkenal, Ryzal Ibrahim akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang meragui status kesahihan anak perempuannya iaitu Rina.

Baru-baru ini, terdapat seorang pengguna Instagram bersikap keterlaluan apabila memintanya untuk melakukan ujian DNA kerana wajah anak perempuannya dikatakan tidak mempunyai iras seperti rupa Ryzal.

Berang dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh netizen tersebut, Ryzal memaklumkan dia bakal berbincang dengan peguam untuk memfailkan saman terhadap individu tidak bertanggungjawab itu.

Malah, Ryzal turut akan meminta bantuan pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pihak terbabit.

“Berkenaan komen DNA fitnah itu saya akan jumpa peguam di Kuala Lumpur selepas urusan saya di Kelantan selesai.

“Sejauh mana dia berada, kita akan kesan dengan bantuan PDRM dan SKMM serta seret ke mahkamah.

“Ini bukan soal hati tisu, ini soal maruah yang mendatangkan aib keluarga,” katanya menerusi sebuah hantaran di Insta-Story.

Tambah suami kepada bintang Youtube Maryam Younarae ini, dia pernah berdepan dengan komen bersifat tuduhan melampau namun hanya membiarkan tanpa mengambil sebarang tindakan.

Walau bagaimanapun, kali ini tidak akan berdiam diri kerana menganggap tuduhan itu melibatkan maruah keluarganya.

“Saya tidak ambil tindakan komen sebelum ini, saya maafkan namun kali ini dia cabar undang-undang.

“Figura awam bukanlah platform untuk netizen melepaskan pelbagai tohmahan. Mereka punya maruah dan harga diri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ryzal memberitahu bahawa tindakannya kali ini adalah untuk dijadikan sebagai pengajaran kepada orang ramai.

“Ketika saya buat silap, saya minta maaf, saya bagi kerjasama dengan pihak polis dan bayar ganti rugi.

“Jadi, apa salahnya kita berikan sedikit pengajaran sepertimana saya lalui,” tegasnya.