PASANGAN sama cantik sama padan dari Korea Selatan iaitu Park Shin Hye dan Choi Tae Joon akhirnya bakal melangsungkan perkahwinan pada hari ini.
Berita gembira itu dikongsi sendiri oleh agensi Shin Hye iaitu Salt Entertainment buat para peminat yang menantikan foto pernikahan pasangan terkenal ini.
“Hari ini, pelakon Park Shin Hye akan berkahwin dengan pelakon Choi Tae Joon. Berikan Park Shin Hye cinta yang sebanyaknya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua orang.
“Park Shin Hye akan terus belajar dan melakukan yang terbaik untuk anda. Terima kasih atas sokongan penuh hangat daripada anda,” tulis agensi di Instagram.
Pasangan yang sedang menantikan cahaya pertama mereka ini dipercayai mengikat tali perkahwinan dalam sebuah majlis perkahwinan tertutup yang bertempat di Seoul.
ARTIKEL BERKAITAN: Park Shin Hye sahkan bakal kahwini Choi Tae Joon tahun depan!
Pada November lalu, URTV melaporkan Park Shin Hye mengumumkan berita perkahwinan menerusi ‘official fan cafe’ dan sudah semestinya memberi kejutan buat para peminat.
“Saya mahu anda menjadi orang pertama yang mengetahuinya tidak kira apa sekali pun. Saya akan berkahwin dengan orang yang sudah lama berada dengan saya.
“Dia adalah tonggak sokongan saya selama ini dan dia menerima segala kekurangan diri saya. Jadi, saya merancang untuk memulakan kehidupan sebagai pasangan yang berkahwin,” tulis Shin Hye.
Buat info, pasangan ini sudah menjalinkan percintaan sejak tahun 2017 dan mula mengumumkan kepada peminat mengenai hubungan mereka pada Mac 2018.

