Nasab anak mengikut bapa
sumber gambar dari IG sahabatsurga

Dalam Islam, nasab dikhususkan kepada bapa dan tidak kepada ibu berdasarkan kepada firman Allah dalam surah al-Ahzab: 5, “Panggillah mereka (anak-anak angkat) dengan memakai nama bapa-bapa mereka.”

Ayat ini jelas menunjukkan agar setiap anak sekalipun anak angkat mesti dinasabkan kepada ayahnya yang sebenar dan tidak kepada ibunya atau ayah angkatnya. Hanya untuk nabi Isa a.s. sahaja yang dibinkan dengan nama ibunya Maryam sebagai bukti keagungan kekuasaan Allah. Bahkan pada hari Kiamat pun manusia akan dipanggil dengan namanya yang dinisbahkan kepada bapanya, disebut fulan bin fulan dan bukan fulan binti fulanah.

Perkara ini jelas dalam hadis dari Ibn Umar r.a. katanya, Baginda s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya seorang pengkhianat akan mengangkat sebuah panji untuknya pada hari Kiamat. Dikatakan kepadanya, “inilah pengkhianat fulan bin fulan.” (HR Bukhari)

Hubungan ayah dengan anak sangat kuat walaupun seorang anak tidak dilahirkan dari rahim si ayah. Merujuk kepada proses kejadian manusia sebagaimana yang tercatat dalam surah an-Najm: 45 dan 46, Allah memberitahu pada kita bahawa,

“Dialah yang menciptakan kamu berpasang-pasangan lelaki dan perempuan. Daripada nutfah apabila dipancarkan.”

Nutfah mengikut tafsiran Imam Qurtubi di dalam al-Jami’ li Ahkamil Quran bermaksud air mani lelaki yang sedikit dipancarkan ke dalam rahim wanita. Dikatakan jumlah yang sedikit kerana dari berjuta sperma yang ada, hanya satu yang diperlukan untuk proses persenyawaan berlaku.

Justeru ayat ini dengan jelas menunjukkan, dalam proses kejadian manusia ditentukan oleh nutfah (air mani lelaki) tanpa mengira jantina seorang bayi. Kenyataan ini selari dengan penemuan sains semasa.

Sebab Dinasabkan Bapa Ikut Sains

Benih lelaki iaitu sperma mempunyai kromosom XY dan benih wanita iaitu ovum mempunyai kromosom XX. Ketika proses persenyawaan berlaku antara benih lelaki dan wanita, kromosom lelaki berpisah menjadi X dan Y. Salah satu dari kromosom lelaki akan bercantum dengan salah satu daripada kromosom wanita bagi menentukan jantina seorang bayi.

Jantina anak ditentukan melalui kromosom bapa

Oleh kerana kedua-dua kromosom wanita adalah sama iaitu X dan X, sedangkan kromosom lelaki adalah X dan Y, maka yang menentukan jantina seorang bayi adalah kromosom lelaki. Sekiranya kromosom X lelaki bercantum dengan kromosom X wanita maka bayi yang lahir adalah perempuan. Sebaliknya jika kromosom Y lelaki bercantum dengan kromosom X wanita, bayi yang lahir adalah lelaki.

Dalam hal ini ovum tidak berkuasa untuk memilih, Ia hanyalah tuan rumah (perumah) yang menanti kedatangan tetamu (sperma) untuk menentukan jantina anak serta kejayaan berlakunya proses persenyawaan. Justeru itu memang menjadi hak bapa untuk dinasabkan kepada anak tidak kira lelaki atau perempuan.

Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah surah al-Qiyamah: 37 dan 38,

“Bukankah dia dahulu (daripada) setitis air mani yang ditumpahkan (ke dalam rahim). Kemudian mani itu menjadi segumpal darah, lalu Allah menciptakannya dan menyempurnakannya.” 

Dari setitis air mani lelaki (sperma) yang ada dalam ovumlah, maka ia terbentuk menjadi segumpal darah, daging, tulang belulang, dan akhirnya berubah menjadi manusia yang ditiupkan roh padanya.

Menurut Dr. Muhammad Faisal Asha’ari, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), nasab seseorang bukan berasaskan kepada biologi (yang melahirkan) semata-mata. Jika ia berasaskan kepada biologi bermakna bin itu mutlak untuk si ibu.

Dalam masa yang sama Islam juga tidak menganggap hanya biologi sahaja sudah cukup sebagai nasab kerana, sesuatu nasab itu mesti berasaskan kepada perkahwinan yang sah. Sekiranya anak lahir tanpa sah taraf, anak itu tidak boleh dibinkan kepada bapa sekalipun ia merupakan bapa yang sebenar. Hanya perkahwinan yang sah sahaja mengiktiraf nasab si anak.

Pemeliharaan Islam Terhadap Nasab

Nasab sangat penting dalam kehidupan seseorang. Tanpa nasab kita tidak tahu jalur keturunan, atau dari mana asal usul kita. Allah menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kita saling mengenal dan berkasih sayang.

Hakikat berbangsa-bangsa dan bersuku-suku ini tidak akan diketahui tanpa mengetahui nasab-nasab mereka dan memeliharanya dari ketercampuran dengan nasab-nasab yang lain. Melalui perkahwinan yang sah sahaja akan dapat menjaga nasab sesebuah bangsa atau kaum.

Kerana itu kita lihat, bukan sahaja Islam, bahkan agama apa pun menetapkan perkahwinan sebagai langkah dalam menjaga nasab mereka.

Ulasnya lagi, orang dahulu apabila lahir anak hasil dari zina, mereka akan lihat wajah anak tersebut menyerupai siapa. Kemudian terus dibinkan dengan lelaki yang menyerupai anak tersebut. Dalam hal ini bukankah ia akan mendatangkan kecelaruan dalam sistem kehidupan? 

Sebagai manusia yang dianugerahkan dengan akal dan jiwa oleh Allah, sudah pasti hati kita merasa tidak tenang selagimana tidak mengetahui asal usul keturunan kita. Secara tidak langsung samalah kita seperti haiwan yang tidak mengenali siapa bapa mereka.

Islam tidak menerima sebarang bentuk hubungan yang menyimpang dari syariat Allah. Di antara pemeliharaan Islam terhadap nasab adalah kecaman yang keras terhadap berbagai pengingkaran nasab serta ancaman kepada ibu atau ayah yang mengingkari nasab anak mereka, sikap berlepas diri atau menasabkan seorang anak yang bukan dari keturunan mereka.

Baginda s.a.w. memberi peringatan yang keras kepada sesiapa yang menasabkan dirinya dengan selain bapanya dengan sabda,

“Barang siapa yang mengaku sebagai anak kepada selain bapanya atau menisbahkan dirinya kepada yang bukan walinya, maka baginya laknat Allah, malaikat, dan segenap manusia. Pada hari Kiamat nanti, Allah tidak akan menerima darinya ibadah yang wajib mahupun yang sunnah.” (HR Muslim)

Hikmah dinasabkan Pada Bapa

Berbicara tentang nasab secara khusus kepada bapa, terangnya lagi, Ibnu Batthol di dalam kitab Fathul Bari menyatakan, panggilan kepada bapanya lebih senang dikenal dan lebih mengena untuk membezakannya dengan orang yang lain.

Selain itu, jika kita perhatikan, lelaki dalam apa jua keadaan berperanan memegang amanah yang besar berbanding wanita terutama dalam sesebuah perkahwinan. Mereka diberikan tanggungjawab untuk mendidik, menjaga serta menanggung nafkah anak dan isteri. Selaras dengan syariat Islam yang melihat keadilan mestilah sesuai dengan tanggungjawabnya, serta memberikan sesuatu pada haknya.

Tidak dinafikan memang terdapat wanita yang lebih berkemampuan daripada lelaki, namun kita tidak bercakap secara individu, sebaliknya secara umum itulah tanggungjawab seorang suami dan bapa. Dan disebabkan itu juga dalam bab faraid iaitu pewarisan harta, jumlah lelaki yang mewarisi harta lebih ramai daripada wanita iaitu seramai sepuluh orang berbanding wanita hanya tujuh.

Pembahagian ini adil kerana dalam bab mewarisi harta, ia sangat diperincikan oleh Allah berbanding dengan bab-bab yang lain. Jika bab-bab yang lain seperti solat, puasa atau lainnya, al-Quran hanya menyebut secara ringkas manakala hadis yang memperincikannya. Sebaliknya dalam bab faraid pula, al-Quran menyebutkan secara terperinci, dan hadis sebagai tambahan sahaja.

Justeru itu berhubung dengan nasab atau keturunan, Islam sama sekali tidak akan berkompromi dalam apa jua keadaan. Sekalipun anak tersebut lahir dari rahim si ibu, dia tetap dinasabkan kepada bapanya yang asal selagimana melalui hubungan yang sah.

Tujuan anak tidak dibinkan kepada ibunya juga, sebagai langkah menjaga hak anak dari dinafikan. Ia berlaku sekiranya si ibu berkahwin lagi atau mempunyai ramai suami, kerana tidak diketahui siapa bapa si anak yang sebenar.

Ini juga akan meningkatkan lagi kes-kes bapa yang tidak mahu membayar nafkah anak sekiranya bercerai dengan isteri, dengan mengambil sikap lepas tangan hanya kerana anak tersebut berbinkan ibunya. Wallahu a’lam

_______________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare