PADA 16 Januari 2003, kapal angkasa Columbia atau STS-107 telah berlepas ke Stesen Ruang Angkasa Antarabangsa (ISS) dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy, Florida.

Selepas menjayakan misi penyelidikan selama 16 hari di luar angkasa, Columbia yang membawa 7 anak kapal kembali semula ke bumi pada 1 Februari 2003. Columbia dijadualkan mendarat di Pusat Angkasa Lepas Kennedy, Florida sekitar pukul 9:16 pagi

Malangnya, pesawat itu tidak berjaya mendarat, sebaliknya hancur berkecai sebaik memasuki ruang atmosfera bumi.

Sebelum berkecai, rakaman video selama 13 minit yang dibuat oleh angkasawan menunjukkan krew kapal angkasa itu sedang mengendalikan prosedur biasa dan mereka dilihat saling bergurau antara satu sama lain.

Api kelihatan di luar tingkap kapal, namun tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana ia merupakan satu pemandangan biasa. Tiada sebarang masalah ketika itu.

Namun, pusat kawalan Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menerima isyarat telemetri – alat komunikasi ukuran jauh menggunakan gelombang radio daripada kapal angkasa Columbia beberapa minit sebelum mendarat.

Menerusi perhubungan telemetri itu, salah seorang krew kapal cuba memberitahu sesuatu, “Roger, uh…bu…”

Tetapi talian tersekat-sekat sebelum terputus hubungan dengan pusat kawalan NASA. Itulah komunikasi terakhir daripada anak-anak kapal sebelum ia dilaporkan hilang daripada radar NASA pada pukul 9:00 pagi.

Pukul 9:05 pagi, satu ledakan kuat kedengaran di ruang udara Dallas di Texas, Amerika Syarikat. Imej pesawat itu yang disiarkan secara langsung oleh stesen Cables News Network (CNN) menunjukkan beberapa percikan cahaya putih dan kepulan asap tebal kelihatan di langit Dallas. Ia jelas menunjukkan pesawat Columbia telah berkecai ketika memasuki ruang angkasa bumi.

Kapal angkasa Colombia berlepas pada 16 Januari 2003 dan dijadualkan mendarat semula di bumi pada 1 Februari 2003.



Satu ledakan kedengaran di ruang udara dan kelihatan percikan cahaya putih dan kepulan asap tebal di ruang langit Dallas.

Ketujuh-tujuh anak kapal yang terdiri daripada golongan profesional disahkan terbunuh dalam nahas ngeri itu. Mereka ialah David Brown, Rick Husband, Laurel Clark, Kalpana Chawla, Michael Anderson, Willian McCool dan Ilan Ramon.

Gerakan mencari dan menyelamat telah dilancarkan di Dallas dan kawasan Fort Worth yang merangkumi keluasan seluas 4,000 kaki persegi.

Kerja-kerja mencari akhirnya menemui lebih 2,000 serpihan kapal angkasa itu yang jatuh berselerak di kawasan yang berpenduduk padat. Bermula dari Nacogdoches di timur Texas, lokasi sejumlah besar serpihan kapal angkasa dijumpai sehinggalah ke barat Louisiana dan barat daya Arkansas.

Selain kepingan pesawat, turut ditemui juga bahagian anggota badan manusia termasuk tangan, kaki, kepala dan jantung para angkasawan yang terkorban, sehingga NASA terpaksa mengeluarkan amaran kepada orang ramai untuk tidak menyentuh mana-mana bahagian kapal atau anggota badan mangsa yang ditemui.

Kesemua angkasawan ini terkorban dalam tragedi itu.
Sisa bangkai kapal Colombia yang dikumpulkan.

Sebuah jawatankuasa, Columbia Accident Investigation Board (CAIB) ditubuhkan untuk menyiasat punca kemalangan tersebut.

Dalam usaha mencari bahan bukti, pasukan terbabit mengutip puing-puing pesawat, lalu membawanya ke Vehicle Assembly Building di Pusat Angkasa Lepas Kennedy, Florida.

Setiap kepingan Columbia kemudian disusun dan dicantumkan semula sehingga menyerupai seperti keadaan asal. Daripada serpihan tersebut, ia memberikan beberapa petanda bagaimana Columbia mengalami kemalangan.

Pada Ogos 2003, CAIB mengeluarkan laporan mengenai insiden tersebut. Hasil siasatan mengesahkan bahawa nahas berpunca daripada pelanggaran pada panel sayap kiri pesawat. Hal ini dibuktikan menerusi rakaman video yang diambil daripada pelbagai sudut semasa pelancaran Columbia ke ISS.

Keadaan kapal Colombia yang terbakar apabila memasuki ruang udara bumi.

Rakaman menunjukkan, selepas 82 saat Columbia meninggalkan Pusat Angkasa Lepas Kennedy, terdapat objek seakan-akan bongkah ais tertanggal daripada tangki bahan api luar, lalu menghentam sayap kiri pesawat.

Kesan hentaman itu membentuk sebuah lubang berdiameter 15 hingga 25 sentimeter. Kerosakan ini telah menyebabkan gas panas memasuki sayap kapal ketika melepasi atmosfera bumi hingga mengakibatkan pesawat mengalami kegagalan seterusnya meletup dan terbakar.

Ia merupakan kemalangan maut kedua melibatkan kapal angkasa selepas tragedi pertama yang berlaku pada 28 Februari 1986, yang mengorbankan 7 orang angkasawan apabila kapal angkasa Challenger meletup ketika dilancarkan ke udara.

Columbia merupakan pesawat angkasa ulang-alik pertama dalam armada orbit NASA yang berjaya dilancarkan. Misi pertamanya, ST-1 telah dilaksanakan pada 12 April hingga 14 April 1981.

Sepanjang sejarahnya, kapal angkasa lepas ini telah melakukan 28 penerbangan, menghabiskan masa selama 300.74 hari di angkasa, melakukan 4,808 kali orbit dan terbang sejauh 201,497,772 kilometer, termasuk misi terakhirnya. Malang sekali, penerbangan terakhir Columbia berkesudahan dengan kisah tragis.

Sejak tragedi itu, penghantaran manusia ke angkasa yang dilihat berisiko besar telah dihentikan. Bermula daripada peristiwa itu, penerokaan ke angkasa lepas telah banyak menggunakan robot berbanding manusia kerana ia lebih praktikal, mudah dan selamat tanpa mengorbankan nyawa.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen