CADANGAN untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 disifatkan boleh membunuh perniagaan yang kini berada dalam fasa pemulihan ekonomi.
Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman J.P berkata, majoriti perniagaan dalam negara tidak bersedia dan tidak berada dalam kedudukan untuk melaksanakan cadangan itu kerana masih terkial-kial bangkit semula akibat kejutan ekonomi dibawa pandemik COVID-19 dan kesan buruk banjir.
Menurut beliau, lebih banyak usaha harus ditumpukan ke arah pemulihan perniagaan sektor swasta dan mengawal peningkatan kos produk serta perkhidmatan.
Syed Hussain menegaskan, tempoh ini bukan masa sesuai untuk melaksanakan sebarang kenaikan gaji minimum apatah lagi peningkatan itu pastinya menaikkan kos barang, perkhidmatan serta operasi.
“Kita harus ingat bahawa kebanyakan perniagaan di Malaysia adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan 98.9 peratus berada dalam kumpulan ini.
“Jadi, apabila kita bercakap tentang gaji dan kos, kita mesti memikirkan kelangsungan hidup serta kemampanan mereka.
“PMKS sedang menderita dan sedikit kenaikan kos akan menambah beban sekali gus menyebabkannya ditutup, apa lagi kenaikan RM300 hingga RM400 sebulan atas gaji minimum yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 juga sebahagian besarnya disalurkan kepada buruh asing kerana pekerja tempatan telah pun menerima gaji lebih tinggi daripada RM1,500.
Baca artikel berkaitan: “Mengarut gaji RM50,000. Nak naik RM200 pun bergaduh sampai nak kena buang kerja” – Iqbal bidas Datuk Seri Vida
Menurutnya, ia sekali gus meningkatkan aliran keluar wang kerana dianggarkan secara purata pekerja asing menghantar semula sejumlah RM4 bilion tambahan setiap tahun untuk setiap kenaikan gaji minimum RM100.
Oleh itu, Syed Hussain berkata, peningkatan gaji sebanyak RM300 ke RM400 akan menyebabkan aliran keluar tambahan antara RM12 hingga RM14 bilion setahun.
“Dianggarkan pada masa ini pekerja asing yang sah menghantar kira-kira RM34 bilion setiap tahun melalui saluran rasmi ke negara sumber.
“Pekerja yang gajinya ketika ini jauh melebihi gaji minimum juga boleh hilang motivasi tanpa pelarasan gaji.
“Sebarang kenaikan gaji minimum akan memberi manfaat kepada pekerja yang gajinya lebih rendah daripada kadar gaji minimum negara yang baharu dan sebahagian besar daripada mereka adalah pekerja asing,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram