PENYANYI Indonesia Ari Lasso disahkan bebas kanser limfoma yang dideritainya sejak awal tahun lalu.
Menurut isteri Ari iaitu Vita Dessy melahirkan rasa gembira dan bersyukur apabila doktor memaklumkan suaminya itu sudah sembuh setelah enam kali menjalani rawatan kimoterapi.
“Kami sekeluarga gembira dan optimis dengan kesembuhan Ari. Dia telah melakukan ujian imbasan terakhir dan doktor memberitahu tiada lagi tanda-tanda penyebaran sel kanser.
“Saya menjadi saksi bagaimana Ari menjalani waktu sukar selepas disahkan menghidap kanser limfoma tahap kedua. Malah, Ari turut berdepan dengan rasa ‘berat’ yang teramat ketika pertama kali menjalani kemoterapi sehingga sesi terakhir,” katanya.
Ari pernah membuat pendedahan sekitar September 2021 apabila mengakui dirinya sedang berjuang melawan kanser limfoma tahap kedua dan didiagnosis sebagai Diffuse Large B-Cell Lymphoma (DLBCL) yang merupakan penyakit jarang yang ditemui bagi penghidap kanser.
Sebelum ini, Ari ada mendapatkan rawatan awal di pusat perubatan selepas sering mengalami sakit perut kronik.
Hasil pemeriksaan terperinci oleh pasukan perubatan, doktor menemui ketumbuhan di kelenjar limfoma.

