PENYANYI terkenal, Datuk Hattan meluahkan rasa kecewanya selepas melihat penampilan usahawan sensasi Ahmad Iqbal Zulkefli di pentas program Big Stage 2022 pada Ahad lalu.
Menurut Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, dia memohon pihak penyiar mempunyai rasa tanggungjawab untuk mengangkat industri hiburan ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya tahu banyak orang bosan lihat satu program realiti televisyen ini. Nyanyi senget-benget macam tu boleh masuk.
“Apa yang cuba dibuat ini. Kalau nak dapat ‘rating’, tak payah sampai macam itu. Banyak lagi cara lain.
“Takkanlah pihak produksi tak tengok bagaimana persembahannya sewaktu sesi raptai. Kamu tahu peserta itu tak boleh nyanyi. Kenapa kamu panggil juga. Untuk tujuan apa?,” katanya.
Menurut pelantun lagu Mahligai Syahdu itu lagi, dia memahami tujuan pihak penyiar yang mahu memberikan impak kejutan daripada segi pemasaran.
Namun, apa yang terjadi cukup memalukan bagi industri nyanyian tanah air apatah lagi program tersebut turut disertai penyanyi dari luar negara.
“Kita tahu kamu nak impak hari pertama program itu. Jadi sekarang anda dapat (pemasaran) walaupun ia baik atau tidak. Tapi untuk industri kita, malu tak?
“Ini yang seperti saya cakap sebelum ini. Dalam program itu ada peserta dari Indonesia. Kalau orang Indonesia tengok macam ini kita punya kualiti?
“Kasihan 11 peserta lain yang bertanding beria-ria. Hanya kerana ada satu atau dua juta pengikut, oh sudah layak? Walaupun persembahan ‘standard’ begitu, punyalah sampah!,” luahnya.
Malah, Hattan turut mempertikaikan kredibiliti pihak produksi yang seakan tidak peka dengan peranan Datuk Seri Siti Nurhaliza selaku juri tetap program berkenaan.
“Kita kena ada jati diri, kena ada rasa maruah. Nyanyi, nyanyi juga, tapi maruah itu penting. Tolong fikirlah berpuluh kali. Begini ke ‘standard’ Datuk Siti dekat situ?
“Tolong lah, dia pun tak sampai hati nak cakap. Kita sendiri pun boleh nampak. Pihak produksi fikirlah secara waras sebelum buat apa-apa keputusan. Tolonglah jangan buat benda bangang macam ini lagi,” ujarnya.
Big Stage 2022 yang membuka tirai minggu pertama pada Ahad lalu dihujani dengan kontroversi panas apabila Iqbal diumumkan peserta ke 12.
Malah, Iqbal yang membawakan lagu Biarlah Bulan Bicara telah mendapat markah serendah lima peratus daripada Ajai.
Akui kecewa dengan markah yang diterima, Iqbal menyatakan hasrat untuk menarik diri pada minggu akan datang.

