USAHAWAN kosmetik yang sering mencetuskan kontroversi, Nur Sajat dikehendaki pihak polis bagi membantu siasatan kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan.
Menerusi kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Selangor, Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman turut diminta hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Ampang Jaya yang dijadualkan pada 22 Februari ini.
“Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Ampang Jaya sedang mengesan Muhammad Sajjad yang beralamat terakhir di Jalan Polo Country Club Selangor, 10/3 Kota Damansara, Seksyen 10, Petaling Jaya bagi menghadiri perbicaraan kes terbabit.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan saksi itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mastura Abdul Basher di talian 0182053955,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat selepas gagal menghadiri kes sebutan semula tanpa alasan pada 23 Februari tahun lalu.
Sajat pernah ditahan di imigresen Thailand pada 8 September 2021 selepas didakwa memiliki pasport tidak sah.
Sepanjang keberadaannya di Thailand, Sajat merupakan pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan memaklumkan dirinya akan tinggal di Australia.
Sekitar 18 Oktober tahun lalu, Sajat membuat pengakuan berani bahawa dia kini sudah menetap di Australia dan memulakan hidup baharu di negara kanggaru itu.

