PELAKON dan pelawak Zizan Razak mengakui pernah berhadapan dengan peminat yang tidak beradab ketika diminta untuk bergambar.
Menerusi perkongsian Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 38, di Instagram, dia menegaskan adab sesama manusia perlu dijaga dan meluahkan lebih selesa apabila berjumpa dengan individu yang lebih ramah dan berbudi bahasa.
“Sedikit cerita nak kongsi tentang diri saya. Berkenaan dengan adab. Saya memang kalah betul dengan orang yang beradab dan berbahasa.
“Ya, tidak dinafikan ada juga yang datang bergambar dengan bahasa yang agak keras. Ada juga menegur dengan cara yang kurang selesa.
“Tetapi saya cuba senyum dengan sebaiknya. Ya, sekadar perkongsian. Tetapi jika datang dengan cara lebut sudah semestinya tahap sejuta senyuman saya berikan. Masya-Allah,” katanya.
Sementara itu, tinjauan URTV ke ruangan komen mendapati, rakan-rakan artis serta netizen bersetuju dengan nasihat dan pendapat yang diberikan oleh pelakon filem Polis Evo itu.
“Betul, adab adalah cerminan diri anda yang sebenarnya,” kata @Dewiseriestha.
“Saya sangat memahami,” ujar @Haqiemrusli98.
“Itu bermaksud Allah nak uji kesabaran mung abang Zizan, hehehe bersabarlah, itulah manusia pelbagai corak ada,” komen @Farhansadri.

