SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-15 adalah pada hari Sabtu, 12 Mac depan.
Ia ditetapkan selepas SPR mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh iaitu dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 22 Januari lalu.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, penamaan calon pula ditetapkan pada hari Sabtu, 26 Februari manakala hari mengundi awal pada 8 Mac depan.
“SPR telah mengadakan mesyuarat khas hari ini dan memutuskan satu PRN Johor hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 56 kerusi dewan negeri tersebut.
“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 26 Februari sehingga pukul 11.59 malam, 11 Mac 2022.
“Bagi menjalankan proses PRN Johor, SPR telah melantik 56 orang pegawai pengurus pilihan raya dibantu 186 orang penolong pegawai pengurus.
“Bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR juga menubuhkan 56 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR).
“Pasukan PP-KPR ini akan dianggotai wakil-wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya dalam sidang media khas hari ini.
Baca artikel berkaitan: Sah Johor bakal adakan PRN, Sultan Ibrahim perkenan bubar DUN
SPR secara rasmi menerima notis daripada Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 pada 23 Januari lalu.
22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada PRN.
Sebelum itu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada pukul 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Pada pertemuan bersama Sultan Ibrahim, Hasni turut diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran DUN Johor.
Sebelum dibubarkan, kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi); MIC (dua); Bersatu (11); dan PAS (satu).
Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 27 kerusi iaitu DAP (14); PKR (tujuh); dan Amanah (enam).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

