KALI kedua digabungkan dalam lagu duet, penyanyi Wany Hasrita dan Wani Syaz tidak teragak-agak untuk menzahirkan lagu Sang Purnama dengan sepenuh jiwa sewaktu rakaman.
“Pertama kali saya menangis dalam studio. Memang terkejut jugalah Sang Hitam dan abang Lan Laga yang ditugaskan untuk memberi panduan dari segi vokal sebab tiba-tiba saya menangis dan terhenti menyanyi.
“Malu pun ada, tapi sebab masa itu saya dah tak dapat kawal perasaan penat, vokal saya dah mula terketar-ketar dan di tambah pula saya tengah rakam bait lirik Kerna Sedalam Dalam Rindu Mu Akhirnya Bertaut Semula.
“Sebenarnya, kalau hayati lirik lagu ini betul-betul memang boleh rasa sayu sebab lirik lagu ni menggambarkan tentang perasaan Siti Hawa sewaktu berpisah dengan Nabi Adam A.S.
“Ditambah pula waktu itu memang dah menjelang ke tengah pagi. Memang ‘pakej’ lah perasaan itu datang saya tak dapat tahan menangis,” kata Wani Syaz.
Menurut pencipta dan penulis lirik lagu ini, Sang Hitam, diperingkat awal lagu ini dicipta memang berpaksi dan merujuk kepada seleksi lagu Noraniza Idris dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Noraniza dan Siti Nurhaliza mengambarkan satu karya yang berteraskan lagu etnik pop dan padang pasir. Tetapi setelah melodi dan liriknya siap saya berfikir alangkah baiknya jika lagu ini dinyanyikan oleh orang baharu.
“Saya membayangkan Wany Hasrita. Maka suntikan baru terus di buat agar ‘roh’ lagu ini bersesuaian dengan karakter nyanyiannya.
“Tapi setelah saya dengarkan lagu ini pada FMC Music, Mr.Ho mencadangkan agar lagu ini dibuat lagu duet. Maka saya ubah semula bebearpa bahagian untuk disesuaikan dengan konsep duet dan berpadanan dengan karakter nyanyian Wani syaz.
“Saya rasa puas apabila Wany memberi sepenuh jiwa untuk lagu ini. Bukan sahaja saya dapat apa yang saya gambarkan, tetapi Wany dan Wani Syaz memberi sesuatu yang luar biasa.
“Saya suka lenggok nyanyian Wani Syaz yang merdu dan bernahu Arab. Begitu juga dengan Wany Hasrita. Saya Minta A mereka terus bagi sampai C D dan memang wow lah!,” ujarnya.
Wany Hasrita meluahkan rasa teruja apabila dapat memuaskan hati pencipta lagu ini.
“Dah tentulah sebagai penyayi saya mahu hasilkan karya yang bagus. Saya hayati bait-bait lirik dan melodi lagu ini beberapa hari sebelum rakaman.
“Saya juga buat beberapa rujukan dengan mendengar lagu-lagu kak Noraniza Idris dan Datuk Siti termasuklah lagu Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini.
“Saya cuba terapkan dalam lenggok nyanyian saya. Memang susah tetapi sebagai anak seni saya kena rajin jika nak majukan diri.
“Ingatkan saya sorang je yang buat mcm tu. Rupanya Wani Syaz juga buat perkara yang sama sebab kami nak pastikan hasil karya kali ini menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan,” ungkap Wany.
Proses rakaman Sang Purnama telah dilakukan sebanyak dua kali. Yang pertama mengambil masa tiga jam untuk merakamkan vokal awalan yang bertindak sebagai rangka lagu, dan kali kedua pula sebagai proses improvisasi bahagian yang perlu penambahbaikan.
Sang Purnama yang bergenre Etnik Pop ini dicipta oleh Sang Hitam, Mas Dewangga dan Aden King.
Manakala lirik diilhamkan sepenuhnya oleh Sang Hitam yang diinspirasikan daripada kisah percintaan Nabi Adam A.S dan Siti Hawa. Tetapi ianya lebih memfokuskan tentang gambaran luahan perasaan Siti Hawa.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

